Tuesday, July 13, 2010

Renung, fikir dan amati....

بسم الله الرحمن الرحيم

“KEGAGALAN, KEJAYAAN ATAU KECEMERLANGAN BERMULA DARI DIRI KITA”

Pernahkah anda mendengar ungkapan ini? Saya yakin dan pasti ungkapan ini seringkali diperdengarkan melalui corong-corong radio dan televisyen, juga di dalam penulisan pakar motivasi untuk memberi semangat kepada semua yang membaca. Namun, pernahkah kita menghayati maksud yang tersirat di sebalik ungkapan tersebut??

Saya memetik ungkapan ini daripada kulit buku hasil tulisan Ahmad Marzuki Ismail menerusi bukunya bertajuk “Penyediaan Diri Ke Arah Pembentukan Modal Insan”.

Jika direnung dan difikirkan tentang ungkapan ini, ia secara tidak langsung memberi suntikan semangat kepada kita bahawa apa jua yang kita impikan adalah bermula dari dalam diri kita. Sekiranya kita ingin berjaya, maka kitalah yang perlu berusaha untuk mencapai kejayaan tersebut. Jika sebaliknya pula yang berlaku, maka kita jua sebenarnya yang mencorakkan kehidupan kita ke arah itu. Pernahkah kita semua renungkan kembali sejarah kehidupan kita yang lampau? Jika kita fikirkan dengan menggunakan pemikiran yang waras, pasti akan terlihat kebenaran di sebalik ungkapan di atas. Di situ jua kita akan lihat kebenaran apa yang difirmankan Allah SWT bahawa kita yang harus berusaha untuk mengubah kehidupan kita, bukan orang lain. Hal ini sememangnya sudah dijelaskan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib
sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaum itu sendiri
mengubah nasibnya”

(Surah Ar-Ra’d,13:11)

Dan ingatlah bahawa Allah SWT itu Maha Adil, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. DIA pasti tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya yang berusaha.

Oleh itu, saya merasakan kita semua perlu melakukan anjakan paradigma supaya kita semua sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan, kejayaan serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Tetapi, ingatlah supaya jangan terlalu mengejar kecemerlangan dunia hingga mengabaikan usaha untuk mendapatkan kecemerlangan akhirat kerana kecemerlangan dunia hanyalah nikmat sementara, kecemerlangan akhirat itulah yang hakiki. Wallahu a’lam..

No comments:

Post a Comment