Friday, April 1, 2011

Hakikat Penciptaan...

Membaca artikel dalam jurnal, prosiding, buku akademik dan karya-karya para ilmuan merupakan antara usaha yang perlu dilakukan oleh semua penyelidik untuk mendapatkan maklumat. Jika tidak, maka sesebuah penyelidkan itu tidak akan dapat dihasilkan dengan sempurna dan berkualiti.

Atas dasar itu, saya juga perlu membaca dengan lebih tekun lagi agar dapat menguasai apa yang ingin dikaji. Akan tetapi, membaca pun kadang-kadang perlukan mood juga. Lebih-lebih lagi membaca bahan dalam bahasa Inggeris. Jikalau tiada mood, maka kerana itulah apabila mula mahu membaca sahaja, mulalah mata menjadi layu, fikiran menerawang, mulut mula mahu menguyah..

Semalam, sambil membaca artikel, tiba-tiba fikiran melayang..melihat peralatan dan barang-barang di atas meja. Ada yang berbentuk bulat, segi empat tepat, segi tiga, segi empat sama, silinder, piramid..Kenapa ye barang-barang ini dicipta sedemikian rupa? Kelihatan seperti semuanya berbeza-beza. Tapi, bila difikirkan kembali, walaupun rupanya berbeza-beza, ia masih ada BENTUK. Ia dicipta untuk memudahkan masyarakat menggunakannya. Kreatif dan inovatifnya manusia dalam menciptakan sesuatukan. Tapi, ini baru benda-benda yang diciptakan oleh manusia.

Kalau di lihat ciptaan Allah SWT, Subhanallah!!! Tidak terbilang bentuk dan kepelbagaian ciptaan-Nya. Tengok sajalah pada diri kita. Ada yang dicipta berkulit cerah dan berkulit gelap, berhidung mancung dan berhidung penyek, tubuh badan yang kurus dan tubuh badan yang besar, ada yang tinggi dan ada pula yang rendah..Masya-Allah, banyakkan kepelbagaian rupa dan bentuk. Walaupun begitu, hakikatnya kita masih lagi manusia selaku hamba dan khalifah Allah SWT. Itu baru manusia, belum lagi benda-benda lain seisi alam seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan, muka bumi, atmosfera, dan lain-lain..Subhanallah..Sungguh Allah itu Maha Mencipta.

Jadi, sedarlah walau bagaimana hebatnya kita sekalipun,kita hanyalah seorang hamba yang sangat lemah. DIAlah Tuhan yang Maha Mencipta dan Memiliki segala-galanya. Oleh itu, bersyukurlah dengan segala anugerah, keupayaan dan kebolehan yang dikurniakan-Nya. Tanpa kasih sayang dan Rahmat dari-Nya, tidak mungkin kita dapat hidup selesa sebagaimana yang dikecapi hari ini.

Wah, panjang pula mengelamun ye. Pengajaran juga untuk diri ini. Allah SWT dah kurniakan akal fikiran dan segala macam kemudahan, maka sebagai seorang mahasiswi, belajarlah bersungguh-sungguh. Jangan buang masa dan sentiasalah memohon agar dipermudahkan segala urusan.


Wallahu a'lam..

No comments:

Post a Comment