Saturday, January 16, 2010

Seiraskah kami??







Kehidupan yang di beri oleh Allah SWT merupakan suatu nikmat dan anugerah yang sangat bernilai kepada setiap hamba-Nya. Oleh yang demikian, selaku hamba yang bertaqwa, kita haruslah sentiasa mensyukuri segala nikmat dan rahmat yang telah dikurniakan. Apatah lagi, kita dilahirkan dengan pancaindera yang sempurna dan kehidupan yang bahagia. Sesungguhnya, Allah SWT amat menyukai hamba-Nya yang bersyukur. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabku amatlah keras". (Surah Ibrahim : 7)
Nikmat perlu disyukuri bukan disalahgunakan ke arah kemungkaran dengan menjadikan hawa nafsu dan tipu daya syaitan sebagai nakhoda dalam jiwa serta pemikiran. Nikmat dianugerahkan Allah SWT perlu dianggap pendorong untuk lebih khusyuk dan tawadhuk mengabdikan diri kepada-Nya dan memperteguhkan tahap keimanan demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Bercerita tentang nikmat ini, saya ingin berkongsi cerita mengenai kelahiran saya yang dianggap suatu nikmat yang sangat "istimewa". Sungguh ciptaan Allah SWT terhasil dengan pelbagai cara dan keunikan. Saya dilahirkan dengan mempunyai seorang kembar yang lahir dari satu uri yang sama. Kembar saya yang diberi nama Azlin sebagai kakak, dan saya Azrin sebagai adik. Kami dilahirkan pada 3 Januari 1986 bersamaan 22Rabiul akhir1406 H. Hanya 4minit masa yang membezakan detik kelahiran kami. Walaupun kami dilahirkan dengan jasad yang berbeza, namun realitinya kami mempunyai banyak persamaan. Menurut mak, semasa kecil, kami tidak mahu memakai pakaian yang berbeza. Segalanya harus diberi secara saksama supaya kami tidak bergaduh. Jikalau seorang demam, maka yang sorang juga akan demam..Pendek kata, segala yang berlaku akan bersangkut paut antara kami berdua.
Disinilah, apabila direnungi, kuasa Allah SWT itu Maha Hebat dan Agung. Diciptakan manusia itu dengan jasad yang berbeza, namun mempunyai raut wajah, minat dan tingkah laku yang hampir sama. Terima kasih Ya Allah di atas segala nikmat, rahmat, kasih sayang, dan kebahagiaan yang telah Kau berikan. Sungguh diri ini merasa amat bersyukur dengan segala yang telah engkau kurniakan. Semoga rahmat dan kasih sayangMu akan terus dicurahkan kepada umat manusia seluruh alam...
Semoga coretan dan bingkisan yang tidak seberapa ini dapat menunaikan janji saya untuk post gambar kembar ke dalam blog terhadap beberapa orang rakan yang asyik bertanya bagaimana rupa kembar saya. Moga-moga akan datang kita semua akan lebih rajin mencoret wadah dan menukil rasa di ruangan blog masing-masing bertepatan dengan saranan Prof Syukri Salleh yang menggalakkan kita semua menulis walaupun sebaris cuma..Insya-Allah dengan usaha yang sedikit juga akan mampu mendidik kita menjadi penulis yang lebih cemerlang..amin
Wallahu a'lam..
-Sekian-

No comments:

Post a Comment