Friday, January 1, 2010

Syukran ya Allah...alhamdulillah



Alhamdulillah, beberapa hari yang lalu, kita semua telah pun menyambut tahun baru hijrah dan hari ini masuk 16Muharam1431 H. Begitu juga dengan tahun baru masihi, kita baru sahaja melangkah ke dalam tahun yang baru iaitu tahun 2010..Setinggi-tinggi kesyukuran diucapkan kehadrat Allah swt kerana dengan limpah kurnia serta kasih sayang-Nya, kita semua masih lagi dipanjangkan usia dan mampu menjalani kehidupan seperti insan lain. Diharapkan dengan beredarnya masa dan meningkatnya usia ini, kita semua dapat membulatkan tekad dan azam yang baru untuk lebih berdaya maju dan berusaha dengan gigih demi mencapai kejayaan dan keredhaan Allah swt.
Alhamdulillah, tahun baru ini juga memberikan peluang kepada saya untuk melangkah ke dalam semester yang baru. Insya-Allah, dengan bermulanya semester ke-2 ini akan memberikan saya semangat yang baru untuk terus belajar demi memuliakan dan mengangkat martabat ilmu. Apa yang ingin saya kongsikan di sini bukanlah azam saya yang baru, sebaliknya adalah mengenai kisah manis yang saya lalui. Alhamdulillah, pada cuti semester yang lalu, saya berkesempatan membantu meringankan bebanan keluarga. Itulah masa yang dinanti-nantikan kerana saya tinggal berjauhan dengan keluarga. Apabila tiba musim cuti, itulah peluang yang diberi oleh Allah untuk saya gunakan sebaiknya supaya saya dapat membantu dan meringankan bebanan tugas mak ayah di rumah.
Pada waktu cuti itu jugalah, kakak saya yang sulung dijangka akan menerima kelahiran cahaya matanya yang pertama. Maka, khidmat dan bantuan saya untuk membantu keluarga pada ketika itu amatlah diperlukan. Alhamdulillah, setelah sekian lama menanti, kini kami sekeluarga telah pun menyambut kelahiran insan baru dalam keluarga kami. Baby girl itu telah dilahirkan pada 12 Disember 2009 dan diberi nama "Darwisyah Nur Qistina"..(Gambar di atas..comelkan, macam makciknya juga..hehe)
Dengan tangis dan senyumnya, membuatkan kami sekeluarga semakin bahagia, lebih-lebih lagi mak dan ayahku..Mereka kelihatan sangat gembira kerana telah pun bergelar nenek dan atuk..Hasrat untuk menimang cucu telah pun dikabulkan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana segalanya selamat. Semoga Allah terus memberikan kegembiraan dan keceriaan kepada keluarga kami..Amin


Sekian, wallahu a'lam...

No comments:

Post a Comment