Monday, October 19, 2009

AKHLAK RASULULLAH S.A.W TERHADAP ORANG MUNAFIK

Orang-orang munafik sememangnya merupakan musuh yang paling merbahaya dalam perjuangan Islam. Mereka mengaku beragama Islam, tetapi pada masa yang sama mereka berusaha untuk menghancurkan Islam.

Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, Abdullah bin Ubay bin Salul merupakan ketua orang-orang munafik. Abdullah bin Ubay telah melakukan pelbagai pengkhianatan terhadap kaum muslimin. Semasa perang Badar, dialah yang menghasut orang-orang beriman agar tidak berperang dan semasa perang Uhud pula dia menyeru kaum Muslimin untuk berundur dari medan perang. Abdullah bin Ubay juga sentiasa melemparkan fitnah keji terhadap peribadi Rasulullah S.A.W serta keluarga baginda. Seluruh kehidupannya seakan-akan diperuntukkan hanya untuk menghancurkan agama Islam.

Rasulullah sedar akan perbuatan Abdullah bin Ubay itu. Para sahabat juga mengetahui pengkhianatan-pengkhianatan yang dilakukannya. Bahkan Umar pernah meminta kebenaran Rasulullah untuk memenggal kepala Abdullah bin Ubay. Akan tetapi Rasulullah tidak membenarkannya. Rasulullah berkata : "Umar, dia telah menyatakan dirinya Islam. Jika kita membunuhnya, tentu orang-orang kafir akan menyebarkan fitnah mengatakan bahawa saya membunuh pengikut sendiri."

Pada suatu hari, Abdullah bin Ubay jatuh sakit. Dia terbaring tenat menunggu ajal. Dalam keadaan demikian dia meminta anaknya untuk memanggil Rasulullah. Semasa anaknya itu menyatakan hasrat ayahnya di hadapan Rasulullah, Umar bin Khattab menunjukkan sikap tidak setuju. Tetapi Rasulullah berdiri dan memakai jubahnya untuk menemui Abdullah bin Ubay yang sedang sakit tenat.

Dalam keadaan terbaring lemah Abdullah bin Ubay meminta agar Rasulullah menyelimutkannya dengan jubah baginda. Umar bin Khattab memberi isyarat kepada Rasulullah agar tidak melayan permintaan ketua munafik itu. Akan tetapi Rasulullah membuka jubahnya dan menyelimutkan Abdullah bin Ubay dengan jubah itu. Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya dengan berselimutkan jubah Rasulullah S.A.W. Setelah itu Rasulullah berkata kepada Umar : "Hai Umar, jubahku ini tidak akan menyelamatkannya daripada azab neraka. Biarlah dia bergembira seketika sebelum menempuh azab yang pedih."

Demikianlah keluhuran budi pekerti Rasulullah terhadap musuhnya. Dalam hati baginda tertanam perasaan kasih dan sayang terhadap seluruh makhluk. Meskipun terhadap musuh besar yang sentiasa berusaha untuk menghancurkan agama Islam. Rasulullah mengajar kita bahawa akhlak dan budi pekerti mesti diutamakan meskipun terhadap musuh kita

Saturday, September 12, 2009

Malam silih Berganti..Pemergiannya Juga di Tangisi..



Hari ini, masuk hari yang ke-22 umat Islam menunaikan ibadah puasa. Ya Allah, terasa masa ini berlalu dengan begitu pantas. Tidak lama lagi, Ramadhan akan berlalu, Syawal pula yang menjelma. Kenapalah tidak kau turunkan Ramadhan itu selama setahun??Ya, memang ramai yang mungkin berimpian seperti saya. Tetapi kita harus sedar bahawa setiap apa yang ditetapkan oleh Allah itu terlindung suatu hikmah yang Maha Besar. Allah menurunkan Ramadhan selama sebulan ini sebagai petunjuk kasih sayang-Nya kepada kita umat manusia. Dia telah menurunkan suatu bulan yang sangat banyak ganjaran didalamnya dan menyuruh kita berusaha untuk mendapatkannya..

“….Ramadhan bulan ibadah, bulan kerahmatan dan keampunan. Para malaikat merendahkan sayap untuk menghitung amalan berganda…Bulan Ramadhan bulan yang mulia, pahala digandakan doa diterima, terkandung malam Lailatul qadar yang istimewa..Di dalam bulan Ramadhan juga ditutup pintu neraka, di buka semua pintu syurga.. Dibelenggu segala syaitan….”

Jikalau Allah turunkan Ramadhan itu selama setahun, mana mungkin umat manusia akan meningkatkan amalan mereka, kerana masing-masing akan memikirkan bahawa Ramadhan masih panjang. Oleh itu, masing-masing tidak akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar fadhilat Ramadhan itu sendiri.

Kadangkala, kebaikan dan ganjaran yang diberi di depan mata, kita seolah-olah lalai dan alpa akan anugerahnya. Tetapi apabila ianya hilang, barulah kita sibuk mencarinya semula. Sedarlah wahai diri ini dan pembaca budiman, hidup ini hanya sementara. Umur yang dikurniakan Allah tidak lama. Ntah sekejap lagi, esok, tahun depan atau beberapa tahun lagi kita dipanggil menghadap Illahi, Tuhan yang menciptakan kita. Pada ketika itu, sesalan sudah tidak berguna lagi. Ya Allah, panjangkan umur kami. Moga kita semua diberi peluang untuk berjumpa Ramadhan pada tahun hadapan.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama merenungi apa yang telah kita lakukan sepanjang Ramadhan ini. Adakah Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada tahun yang lalu? Kalau ya, alhamdulillah. Ini bermakna kita tergolong di dalam golongan hambanya yang mensyukuri nikmat. Namun, jika Ramadhan ini lebih teruk, marilah kita sama-sama menginsafi apa yang telah dilakukan. Sesungguhnya, Ramadhan masih ada bebapa hari lagi. Oleh itu, marilah kita sama-sama menghidupkan sisa Ramadhan yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi. Pintu taubat itu sentiasa terbuka buat hamba-Nya yang bertaqwa. Ya Allah, berilah kami taufik dan hidayah supaya kami temui nur/cahaya kehidupan yang sebenar. Ya Allah, tempatkan kami semua di kalangan hamba-hambamu yang beriman dan tidak kufur nikmat..Amin..
Sekian, Wallahu a’lam..

Sunday, September 6, 2009

Ketahuilah...

Ketika kamu sudah menangis sekian lama dan hatimu masih terasa pedih.. Allah sudah menghitung airmatamu. Jika kamu fikir bahawa hidupmu sedang menunggu sesuatu dan waktu terasa berlalu begitu saja..Allah sedang menunggu bersama-samamu..Ketika segalanya menjadi sesuatu yang tidak masuk akal dan kamu merasa tertekan..Allah bersamamu untuk menenangkanmu..Ketika kamu fikir bahawa kamu sudah berusaha sesungguhnya dan tidak tahu hendak berbuat apa lagi..Allah mempunyai jawapannya…Ketika segala sesuatu berjalan lancar dan kamu merasa ingin mengucap syukur. Allah telah pun memberkatimu…

Ketika kamu merasa sendirian dan teman-temanmu terlalu sibuk untuk menelefon dirimu..Allah sentiasa berada di sampingmu..Jika tiba-tiba kamu dapat melihat jejak-jejak harapan..Sebenarnya Allah sedang berbisik kepadamu..Ketika sesuatu yang indah terjadi dan kamu dipenuhi ketakjuban..Allah akan tersenyum kepadamu..Ketika kamu memiliki tujuan untuk dipenuhi dan mimpi untuk digenapi..Allah sudah membuka matamu dan memanggilmu dengan namamu… Oleh itu ingatlah bahawa di manapun atau ke manapun kamu berada..Allah akan mengetahui dan sentiasa berada di sampingmu…

Wednesday, September 2, 2009

Marilah Menadah Tangan..



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..Ya Allah... limpahkan aku dengan kecerdikan fikiran dan kewaspadaan...serta jauhkan aku daripada kebodohan dan kesesatan...Sediakan bahagianku daripada kebaikan yang kau turunkan...demi kemurahan Mu...wahai Tuhan Maha Pemurah daripada segala dermawan...

Ya Allah...ampunilah segala dosaku...dan jauhkanlah aku dari azab seksa api nerakaMu... dan azab seksa di alam baqa serta jauhkanlah dari seksanya ketika sakaratulmaut... Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah zat yang menghimpunkan manusia pada hari Qiamat... Sesungguhnya Engkau tidak akan menyalahi janji...

Ya Allah..himpunkanlah apa yang ku inginkan...(sebutkan keinginan-keinginan tersebut)... kerana sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu...Ya Allah... tambahkanlah kepadaku ilmu...dan berikanlah aku faham dengan pengertian yang baik...Ya Allah...aku memohon padaMu petunjuk, ketaqwaan, kesucian tubuh dan kekayaan jiwa...

Ya Allah... matikanlah aku dengan mati yang baik (mampu mengucap kalimah syahadah)...dan janganlah matikan aku dengan mati yang buruk dan keji (mati tidak beriman) Ya Allah...tetapkanlah aku dalam agama Islam... dan ampunkanlah segala dosa-dosa yang telah dilakukan samada sengaja ataupun tidak...dan peliharalah imanku ini... Amin Ya Rabbal 'alamin...

Tuesday, September 1, 2009

TIKET ooOoo TIKET...

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kerana masih lagi diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu Ramadhan yang mulia ini. Hari ini masuk hari yang ke-12 ramadhan dan genap 11 hari umat Islam menunaikan ibadah puasa. Semoga puasa dan segala amalan kita di terima oleh-Nya. Yang paling penting, sama-samalah kita berdoa agar sentiasa di beri hidayah, rahmat dan redha-Nya..Insya-Allah..

Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi sedikit cerita tentang pengalaman membeli tiket untuk pulang ke kampung pada cuti perayaan yang akan datang. Walaupun kini sibuk menjalani ibadah puasa, namun sebagai manusia biasa, saya juga sangat menantikan saat cuti untuk pulang ke kampung bertemu keluarga tercinta. Almaklumlah, lagi dua minggu, cuti sempena aidilfitri akan bermula..Apabila tinggal berjauhan dengan keluarga, terasa satu anugerah apabila diberikan cuti. Inilah masa yang ada untuk meluangkan masa bersama keluarga. Pada cuti yang akan datang, buat pertama kalinya, saya akan pulang dengan perjalanan yang jauh dari Penang ke Johor. Sebelum ini, saya akan pulang ke Kuala Lumpur dan keluarga yang akan mengambil saya di KL. Kali ini, suasana berlainan sekali. Semoga Allah menyelamatkan perjalanan saya nanti untuk sampai ke destinasi..Amin...

Saya telah membeli tiket untuk pulang ke Johor iaitu pada malam 17hb September. Kebetulan, tarikh itu adalah tarikh ulangtahun kelahiran ayah saya..Insya-Allah, adalah sesuatu yang akan saya berikan kepadanya nanti sebagai tanda penghargaan di atas pengorbanan dan cabaran yang ditanggung bersama mak dalam mengasuh, mendidik dan membesarkan anak-anak seramai 9 orang..
Namun begitu, tiket untuk pulang dari Johor ke Penang selepas perayaan nanti sudah banyak yang telah di jual..Saya mulai risau disebabkan takut akan pulang lewat untuk menyambung semula sessi pengajian setelah pulang berhari raya yang mana kuliah pertama akan bermula pada 29hb/9. Pelbagai bayangan persoalan timbul di benak fikiran saya..

“Mungkinkah terpaksa berkorban meninggalkan kuliah pada hari Selasa(29hb)”?

Ooo…Perkara ini tidak mungkin akan berlaku. Sejak dahulu lagi, diri ini telah di didik untuk sentiasa mengikuti kuliah yang telah ditetapkan. Mana mungkin saya akan meninggalkan kuliah hanya dek kerana sebab yang tidak munasabah ini. Kecualilah berlakunya sesuatu yang tidak mampu dielakkan, barulah ianya dapat dipertimbangkan.

Oleh yang demikian, saya bertekad meminta pertolongan seorang teman yang tinggal berdekatan dengan Larkin, Johor untuk melihat kalau-kalau masih ada tersisa tiket yang masih belum di jual di terminal bas Larkin. Berkat doa, alhamdulillah,teman yang sentiasa membantu berjaya mendapatkan tiket untuk pulang ke Penang pada malam 27hb (ahad). Alhamdulillah…Terima kasih teman.. Walaupun syarikat bas itu tidak pernah saya dengar namanya dan harga tiketnya juga telah bertambah, namun saya redha..Itulah jalan yang terbaik buat saya untuk pulang ke Penang nanti. Sekali lagi saya memohon jasa baik pembaca budiman supaya mendoakan perjalanan saya nanti akan selamat untuk pulang semula meneruskan perjuangan sebagai mujahadah di bumi Minden ini..

Setakat ini sajalah cerita saya berkenaan dengan tiket bas. Akhir kalam, saya menyeru kepada diri saya sendiri dan semua pembaca yang budiman supaya memanjatkan kesyukuran atas segala nikmat kurniaan yang telah Allah anugerahkan kepada kita. Gunakanlah rahmat dan nikmat bulan Ramadhan ini sebagai wasilah untuk kita sama-sama mendekatkan diri kepada Allah s.w.t

Semoga kita semua termasuk di dalam golongan hamba-Nya yang soleh dan solehah..Insya-Allah..

Wallahu a’lam…

Friday, August 21, 2009

"AHLAN YA RAMADHAN 1430 H"

Wahai pembaca yang budiman,

Bersyukurlah kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk bertemu bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Moga kita sama-sama meningkatkan amal ibadah dan berusaha mendapatkan keredhaan Allah s.w.t yang Maha Besar..

Abu Hurairah telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud: "Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu".
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi)

Wednesday, August 19, 2009

MADAH PUJANGGA

"Kata-kata kadangkala tidak mempunyai makna utk menjelaskan perasaan. Manusia boleh membentuk seribu kata-kata, seribu bahasa. Tetapi kata-kata bukan bukti unggulnya perasaan"
FIKIRKAN SEJENAK....

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Dia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan..Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan saya pula ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!" Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat.

Beberapa saat kemudian guru itu kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti. Guru itu tersenyum kepada murid-muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh-musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tetapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan ketika.

"Keluar berduaan dengan dengan pasangan sambil berpimpin tangan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi menjadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain-lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, sedikit demi sedikit masyarakat Islam menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Faham?" tanya guru kepada murid-muridnya. "Paham cikgu..." "Baik permainan kedua..." begitu guru itu melanjutkan. "Cikgu ada Al-Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet. Permainannya adalah , bagaimana caranya mengambil Al-Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?" Murid-muridnya berfikir . Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat,dan lain-lain.

Akhirnya guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Al-Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet ."Murid-murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya...Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang kerana tentu anda akan menolaknya mentah-mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tetapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sadar. "Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan..." "Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tetapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara mereka (kafir)... Dan itulah yang mereka inginkan." "Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita... " "Kenapa mereka tidak berani terang-terangan memijak-mijak umat Islam cikgu?" tanya murid- murid. "Sesungguhnya dahulu mereka terang-terangan menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi." "Begitulah Islam... Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang serentak terang-terangan, mereka akan bangkit serentak, baru mereka akan sedar". "Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang..." Matahari bersinar terik takala anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka dengan fikiran masing-masing di kepalanya...

Wednesday, August 5, 2009

"MADAH PUJANGGA..."

"Gantungkanlah azam dan semangatmu setinggi bintang di langit, dan rendahkanlah hatimu serendah mutiara di lautan..."

Assalamualaikum...

UCAP TAMA.....

Alhamdulillah..Pertama sekali, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Prof Muhammad Syukri Salleh kerana mewajibkan kami ( Student ISDEV ) mencipta blog hasil nukilan sendiri. Kalau bukan kerana tugasan ini, mungkin blog ini belum dapat dihasilkan. Walaupun layout nya agak pinky, namun itulah realiti sebenar personaliti dan hati seorang "perempuan" yang suka akan kelembutan dan ketenangan...

Saya bersyukur kerana saya mampu menghasilkan blog walaupun tidaklah sebaik mana. Tapi sekurang-kurangnya ianya dapat melatih diri meningkatkan kemahiran dalam bidang ICT di samping menambah kekreatifan dalam mengeluarkan idea...Insya-Allah blog ini juga akan saya jadikan medium bagi tujuan penyaluran ilmu dan buah fikiran tentang sesuatu perkara..Saya memohon maaf atas segala kekurangan dan kelemahan. Insya-Allah saya akan memperbaikinya dan mempertingkatkan kualiti blog ini dari semasa ke semasa.

Diharapkan, rakan-rakan dapat membantu saya dalam proses menambaik baik blog dan menukilkan idea dengan lebih kreatif dan ber"informasi"..
Sekian, Assalamualaikum..


SEDIKIT LUAHAN DAN MINAT......

Di sini, saya ingin berkongsi sedikit cerita tentang perasaan dan luahan rasa saya. Saya sebenarnya sangat merindui keluarga dan kampung halaman. Semenjak menamatkan sessi pengajian di UM, saya tidak pulang ke kampung, malahan terus bekerja di UM sebagai Research Assistant (RA)...Saat terakhir saya berjumpa keluarga adalah semasa keluarga menghantar saya ke P.Pinang untuk menyambung pengajian di USM..Terasa sangat rindu untuk bermesra dengan keluarga, berada di rumah, merasa masakan mak, bermain dengan adik-adik dan binatang kesayangan..Insya-Allah, kalau diizinkan Allah untuk hidup lebih lama, maka dapatlah saya menunaikan impian ini apabila pulang bersama keluarga, selepas menghadiri majlis konvokesyen di UM pada 12Ogos ini...

Di kesempatan ini, saya juga ingin berkongsi sedikit cerita berkenaan haiwan peliharaan saya yang sangat saya rindui.. Di rumah, saya ada memelihara seekor kucing betina dan hamster..Pada awalnya, saya hanya memelihara dua ekor hamster yang di beri nama Tasyo dan Hamtaro (sempena nama hamster dalam rancangan kartoon di televisyen..hehe) Namun, mereka telah mengembangkan keturunannya dan beranak pinak sehingga menjadi 10 ekor..Kucing pula di beri nama "Ompok" kerana di badannya ada tompok bulu yang berlainan dengan warna bulu yang lain. Haiwan-haiwan inilah yang selalu membuat hati saya terhibur. Saya akan kerap tersenyum sendirian apabila melihat aksi, telatah dan pergerakan mereka. Perkara yang paling saya suka apabila berjumpa dengan mereka adalah "berbual" dengan mereka. Walaupun mereka tidak paham, tapi saya menyukai tabiat ini..hehhe...Saya hanya dapat berjumpa dengan haiwan peliharaan saya ini hanyalah apabila saya pulang ke kampung..Saya suka memandikan mereka.

Satu perkara yang saya rasa kagum dengan binatang ialah mereka seolah-olah merasai gerak hati dan perasaan manusia..Kenapa saya berkata begitu??Kerana jikalau saya ingin memegang mereka, mereka tidak akan menggigit tangan saya.. Saya merasakan jika kita mempunyai naluri kasih sayang dan berniat ikhlas untuk menyayangi dan memelihara binatang, maka binatang itu juga akan menyayangi kita. Di sini, apa yang ingin saya sampaikan ialah apa yang lahir dari hati kita, walaupun ianya bersifat tersembunyi, tetapi ianya juga akan memberi kesan terhadap apa jua yang kita lakukan...Saya berharap rakan-rakan juga boleh menyayangi binatang kerana mereka juga ingin di sayangi dan perlukan kasih sayang serta perlindungan, seperti kita juga manusia..Sekian...Assalamualaikum....

Tuesday, July 7, 2009

WASIAT HASSAN AL-BANNA

" Bacalah al-Quran,tatapilah buku-buku ilmu,pergilah ke majlis-majlis ilmu,dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah "
(Hasan al-Banna)

Fokus penekanan dalam wasiat Hassan al-Banna berkenaan dengan Al-Quran, bacaan, zikrullah dan pengisian masa dengan program yang mendatangkan manfaat dan menolak mafsadah..
Al-Quran merupakan kalamullah yang diturunkan kepada Rasulullah pada 17 Ramadhan di gua Hira' ketika rasulullah beruzlah dari kepompong kejahilan masyarakat Arab jahiliyyah. Proses penurunan al-Quran berlaku melalui penyimpanan kalamullah di Luh Mahfuz, diturunkan baitul 'Izzah, seterusnya ke BaitulHaram dan akhirnya diturunkan secara tadarruj (berperingkat) kepada Rasulullah SAW. Al-Quran merupakan sumber rujukan yang paling utama sebagaimana disebut oleh Rasulullah :

" Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara jika kamu berpegang padanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Assunnah"
Al-Quran mengandungi manhaj lengkap dalam kehidupan manusia dan bersesuaian dengan zaman meliputi unsur bayyinah (penerangan) dalam Al-Quran iaitu taghrib (nikmat dan ganjaran), tarhib(ancaman), tamsil (penceritaan sejarah) dan masail (permasalahan). Imam Al-Banna telah mendoktrin Ikhwanul Muslimin melalui prinsip Ikhwan antaranya " Al-quran dusturuna" iaitu Al- Quran adalah perlembagaan kami.
Al-Quran menjadi asas kepada pergerakan harakah Islamiyyah dari dahulu hingga kini, setiap perancangan tanzim hendaklah didasarkan dan dipandu oleh dasar Al-Quran. Melalui itulah, penggunaan elemen dan sumber lain dalam usul fiqh seperti istihsan, masalih mursalah dan al-uruf yang lebih bersifat semasa dipertimbangkan untuk kemaslahatan umat.Amalan bacaan dan pengkajian kandungan Al-Quran hendaklah dijadikan amalan umat Islam, seperti yang digunapakai dan diamalikan oleh golongan terdahulu seperti golongan qaedah sulbah Rasulullah saw.

"Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu, sumber hidayah kepada anda dan
saya.Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat. Sentiasalah membaca, menghafal dan
cuba hayati mesej arahannya" ( Hassan Al-Banna)
Kelebihan dan mukjizat Al-Quran :
- Gaya bahasa dan susunan kata yang tiada bandingannya
- Realistik dan bersesuaian sepanjang zaman
- Mukjizat teragung kepada Rasulullah saw
- Konklusi kepada keseluruhan kitabullah terdahulu iaitu Zabur, taurat dan Injil
- Sumber keilmuan utama umat Islam, sumber qat'ie ulama' dalam berhujah dan berijtihad.
- Dan lain-lain lagi kelebihan yang tidak disebut penulis.

Menurut Dr Karim Zaidan didalam bukunya “Usul Ad-dakwah” menekankan unsur ilmu sebagai elemen khususi yang diperlukan oleh Pendakwah lantaran elemen dakwah terdiri dari tiga perkara iaitu : daei (pendakwah) , Mad'u ( golongan sasaran/ market), dan Maudhu' ( tajuk/ ilmu yang ingin disampaikan). Imam al-Banna menyeru supaya pemuda pemudi Islam mengisi masa dengan pembudayaan ilmu dengan penyertaan yang aktif melalui majlis keilmuan samada ceramah, seminar, musyafahah watalaqqi , pembacaan dan pengkajian. Hayatilah firman Allah dalam Al-mujadalah (ayat 11).

Pengkajian dan penghayatan ilmu serta zikrullah mampu untuk membuka mata hati. Ianya akan membawa manusia kepada keyakinan yang tinggi kepada Allah serta mampu dan sanggup melaksanakan rubu' Islam: Ibadah, Jinayat, Munakahat dan Muamalat. Keyakinan itu ialah menurut Ibnu Taimiyyah ;
Ilmu yakin : Sesuatu yang didapati melalui pendengaran, pengkhabaran, perbandingan dan pemerhatian.
Ainul yakin : Sesuatu yang diperolehi melalui apa yang disaksi dan dilihat dengan mata kepala sendiri
Hakkul Yakin: Sesuatu yang diperolehi bilamana ia sendiri yang terlibat, merasai dan mengetahuinya melalui pengajaran yang diambil.

Zikrullah Mainan Lisan
Secara umumnya zikir berasal dari al-zikr yang membawa maksud mengingati.Dalam Istilah syara' menyebut zikir adalah satu amalan/perbuatan melalui elemen qalbi (hati), qawli (kata-kata) dan fi'li (amal perbuatan) yang menjurus kepada mengingati Allah dan menyedarikeberadaan Allah memerhati dan melihatnya. Maklum diketahui bahawa penglihatan Allah mempunyai sifat melihat dengan tiada mata yang meliputi alam 'ulwi dan alam sulfi.Sewajibnya setiap gerak langkah dan amalan seharian kita bertunjangkan pemfokusan kepada Allah,itulah disebut ibadah,yang meliputi keseluruhan hidup manusia melalui ibadah umum (sifat dan amalan manusiawi) dan ibadah khusus ( amalan melambangkan taabud kepada Allah).

"Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir!!! Disini ada ketenteraman,disini ada kedamaian, Jadilah hamba yang sejahtera" ( Hassan Al-Banna)


Penutup

Secara umumnya, flow penyampaian mesej didalam wasiat ini jelas menunjukkan kepentingan nilai keilmuan. Imam Hasan menyeru supaya membaca Al-Quran yang menjadi sumber fakta ilmiah dan tunjang keilmuan, lantaran itu Imam hasan menyeru supaya memahami kandungan Al-Quran melalui pembacaan buku-buku dan menghadiri majlis ilmu. Kerana natijahnya bila al-Quran dapat difahami dan diperkuatkan dengan hujah-hujah ghaibiyyat dan saintifik menjadikan seseorang itu mampu mendekatkan diri kepada Khaliqnya, inilah zikrullah.