Tuesday, December 13, 2011

ANUGERAH TERISTIMEWA





Alhamdulillah, terima kasih TUHAN atas anugerah ini.

P = Penyatuan jiwa dua insan.
E = Elemen cinta, kasih dan sayang diabadikan.
R = Rasmi agama diterapkan, resam budaya diamalkan.
K = Kahwinilah dia kerana agamanya, bukan kerana harta dan kecantikan.
A = Allah menghalalkan satu ikatan, usah dicari lagi yang diharamkan.
H = Hanya "sabar" elemen tambahan paling mujarab dalam memperkukuh ikatan.
W = Wanita dan lelaki saling melengkapkan.
I = Inilah fitrah daripada Tuhan.
N = Nanti kita mendapat balasan daripada setiap yang dilakukan.
A = Amanahlah kita sebagai insan.
N = Natijahnya, bahagialah kita dalam kehidupan.

Monday, July 25, 2011

BERSYUKUR DENGAN UJIAN

"Ya Allah, jika segala kesusahan dan keperitan ini mendekatkan aku dengan-Mu, janganlah engkau mengurniakan aku kesenangan dan kemudahan kerana aku takut aku akan jauh dari-Mu lantaran kelalaian dan kealpaanku."


Dalam hidup ini, kita sering diuji dengan berbagai-bagai ujian dari Maha Pencipta. Ujian yang didatangkan itu kadang-kadang merupakan satu peringatan di atas kelalaian ataupun satu hukuman lantaran kesalahan dan tidak kurang juga hanya semata-mata ujian untuk menduga tahap kesabaran dan keimanan kita. Kita diuji dengan sesuatu yang kita mampu hadapi kerana Yang Maha Mengetahui kemampuan dan keterbatasan kita hanyalah Allah Yang Esa.

Sunday, July 17, 2011

Sya'aban semakin berlalu, Ramadhan kian menjengah

Bulan Sya'aban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Sya'aban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Semalam (Ahad, 17 Julai 2011/15 Sya'aban 1432H) baru saja nisfu sya'aban berlalu. Moga-moga amalan kita semua diterima oleh-Nya.

Ya Tuhan, Kau pimpinlah langkahku, agar tidakku kesesatan, dari jalan syurgamu yang kudambakan..Kerana tidakku terdaya menahan siksa neraka. Namun, layakkah pula aku untuk ke syurga?..Ya Tuhan, Ku hanya hamba yang diciptakan dengan kelemahan. Sering daku terlupa, sering jua daku terleka dengan nikmat-Mu yang melimpah di depan mata.. Ampunkanlah dosa-dosaku, ya Tuhanku..


Wednesday, June 22, 2011

Laporan Penyeliaan Bulanan Siswazah ISDEV -JUN 2011-

Tanggal 17 Jun 2011 bersamaan 15 Rejab 1432 H, ISDEV telah mengadakan aktiviti rutin bulanannya iaitu "Penyeliaan Bulanan Siswazah ISDEV" untuk bulan Jun. Penyeliaan ini diadakan pada dua sessi, iaitu sessi pagi dan petang.

SESSI PAGI

Terdapat empat aktiviti yang menjadi tunjang kepada program penyeliaan pada sessi pagi iaitu:

Pertama, tazkirah : Disampaikan oleh Ust. Shukri Hanapi. Kedua, mendengar pengalaman Dr. Nailul Murad sepanjang beliau subatikal dan berada ditanah suci. Ketiga, kuliah Objektif Kajian : Disampaikan oleh Dr. Sukainah. Keempat, jamuan sempena perpisahan Dr. Nik Masakaree dan Dr. Isyrad Basri.

Untuk aktiviti yang pertama, Ust Shukri telah menyampaikan tazkirahnya yang bertajuk "Syarat menuntut ilmu: Pandangan Imam Al-Syafi'y dalam kitab Diwan al-imam Al-Syafi'y". Menurut Ust Shukri, Imam Al-Syafi'y telah menggariskan enam syarat yang perlu diikuti untuk mendapatkan ilmu iaitu:
1-Zaka' : Cerdas dan bijak
2-Hirs : Semangat yang tinggi/rakus
3-Ijtihad : Kesungguhan
4-Bulghah : Kemampuan sara diri/kewangan
5-Suhah Ustaz : Bersahabat dengan guru
6-Tul zaman : Sepanjang masa

Warga ISDEV mendengar tazkirah dengan penuh minat.


Dalam sya'ir Imam Syafi'y ada menukilkan bahawa manusia harus menjauhi maksiat untuk mendapatkan ilmu. Ini adalah disebabkan ilmu itu adalah cahaya dan ia tidak akan bercampur dengan hati yang penuh dengan maksiat dan kejahatan. Selain itu, apa yang dapat saya garap daripada penyampaian tazkirah ust Shukri adalah menuntut ilmu perlu ada kesungguhan. Untuk mendapatkan kesungguhan tersebut, perlulah dengan kesabaran. Ust juga menyeru supaya kita semua cuba untuk bersahabat dengan guru. Ini adalah tuntutan menuntut ilmu sebagaimana yang digariskan oleh Imam Syafi'y.


Selepas tazkirah, Dr. Nailul dijemput pula untuk menceritakan pengalamannya bercuti subatikal di IDB, Jeddah serta pengalamannya menjejakkan kaki di tanah suci Mekah. Alhamdulillah, banyak pengalaman, pengamatan dan tinjauan yang dikongsikan oleh Dr. Nailul bersama warga ISDEV.


Setelah selesai Dr. Nailul berkongsi pengalamannya, maka tibalah giliran Dr. Sukainah menyampaikan kuliahnya yang bertajuk "Objektif Kajian: Hubungan dengan Pernyataan Masalah dan Persoalan Kajian".


Banyak input-input bermanfaat yang disampaikan oleh Dr. Sukainah dan boleh digunakan dalam proses menulis sebuah tesis terutamanya oleh penyelidik yang baru memulakan pengkajiannya. Menurut beliau, cara menyatakan objektif tidak hanya kepada perkataan mengkaji, lebih dari itu, kita haruslah menyatakan objektif dengan menggunakan istilah:
...untuk mengenal pasti / untuk menganalisis / untuk menilai...




Slide kuliah Dr. Sukainah


Warga ISDEV memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap apa yang disampaikan oleh Dr. Sukainah.


Sekitar jam 11.40m, program penyeliaan ISDEV pada sessi pagi telah sampai kepada aktiviti yang terakhir iaitu jamuan makan sempena perpisahan ISDEV dengan Dr. Basri dan Dr. Nik. Sebelum menjamu selera, Dr. Basri dijemput memberikan ucapan sepatah dua kata tentang apa sahaja yang ingin diluahkan sebelum beliau menamatkan program post-docnya di ISDEV. Agak panjang juga luahan yang disampaikan. Dr. Nik pula tidak berkesempatan memberikan ucapan memandangkan beliau tidak dapat hadir ke program penyeliaan tersebut atas urusan yang tidak dapat dielakkan.


Setelah semuanya selesai, seluruh warga ISDEV dijemput menjamu selera. Kaum Adam (Muslimin) diberi penghormatan untuk terlebih dahulu menjamu selera memandangkan mereka akan menunaikan solat jumaat.


Alhamdulillah, program penyeliaan Siswazah ISDEV pada sessi pagi berjalan sebagaimana yang dirancang. Mungkin, berkat hari Jumaat, maka Allah mempermudah segala urusan.




Prof. Muhammad Syukri Salleh menyampaikan cenderahati kepada Dr. Basri.



Kek yang disediakan oleh ISDEV untuk meraikan Dr. Basri dan Dr. Nik.



Mungkin Prof. sedang memberikan tips tentang cara-cara memotong kek kepada Dr. Basri.


PENYELIAAN SESSI PETANG


Pada jam 3.00 petang, penyeliaan siswazah ISDEV diteruskan dengan dua pembentangan proposal PhD. Pak Farid Wajdi menjadi pembentang pertama dengan tajuk tesisnya "Logo halal di Sumatera Utara Indonesia: Undang-undang, pentadbiran dan penggunaan". Manakala Pak Mulia pula menjadi pembentang kedua dengan tajuk tesisnya "Tadbir urus korporat, pengurusan pendapatan dan nilai firma: Kajian kes di Syarikat-syarikat tersenarai di Jakarta Islamic Index (JII), Bursa EFEK Indonesia.


Alhamdulillah, kedua-dua pembentang ini berjaya menghasilkan sebuah proposal yang baik dan telah diluluskan oleh penilai masing-masing. Ini bermakna mereka sudah boleh meneruskan pengkajian diperingkat kajian lapangan. Moga-moga ianya dapat menyuntik semangat semua pelajar ISDEV agar mempercepat proses penulisan tesis dan dapat menghabiskan pengajian mengikut waktu yang dirancang. Insya-Allah.


Sama-samalah kita berdoa agar Allah membuka jalan dan mempermudahkan urusan kita dalam menghasilkan sebuah tesis yang berkualiti dan dapat memberikan sumbangan kepada perkembangan ilmu Islam.



Sekian, Wallahu 'alam.

Sunday, May 8, 2011

SELAMAT HARI IBU

Malam semalam, aku terasa ingin membaca sesuatu daripada bahan bacaan ringan. Lalu ku arahkan mataku ke bahagian rak buku yang sarat dengan buku-buku akademik dan bukan akademik termasuk majalah. Tanganku lekas mencapai majalah solusi isu no.30. Aku membelek-belek majalah tersebut dan terus merebahkan diri di atas katil. Tajuk di bahagian kulitnya tertera "Memburu kemanisan iman". Lalu ku selak muka suratnya satu persatu untuk mencari tajuk-tajuk yang dapat menarik minatku untuk membacanya.

Sekitar jam 11.55pm, aku bingkas bangun daripada katil lalu mencapai handphone dan jari-jemariku ligat menaip sesuatu. Di skrin handphone ku kini tertulis:

"Assalamualaikum..Mak, SELAMAT HARI IBU. Terima kasih kerana melahirkan dan mendidik kami sembilan beradik. Jasamu dikenang hingga ke akhir hayatku. Semoga menjadi ibu mithali dan ibu sejati serta diredhai Allah SWT. Semoga mak dipanjangkan usia, dipermudahkan segala urusan dan bahagia di samping abah, anak-anak dan cucu. Sayang mak".

Tepat jam 12am (menandakan sudah memasuki 8 Mei 2011), mesej tersebut terusku hantar ke talian ibuku. Tidak lama kemudian, "mesej delivered" tertera di skrin handphone ku. Hati kecilku berkata, "Alhamdulillah. Mak telah menerima mesej yang ku hantar sebentar tadi.

Kini, aku kembali merebahkan diri di atas katil. Tangunku masih lagi membelek majalah solusi yang dibaca sebentar tadi. Sambil membelek, fikiranku menerawang.."Hari ini hari ibu. Apa yang boleh ku berikan kepada mak untuk menggembirakan hatinya?" Mesti mak merasa sedih kerana anak-anaknya berada di lokasi yang jauh darinya dan tidak dapat menyambut hari ibu sebagaimana tahun lepas". Tanpa ku sedari, air mataku sudah bergenang. Lalu, aku memujuk hatiku sendiri. "Tak mengapalah. Bukan bermakna hari ini sahaja hari ibu, sepatutnya setiap hari adalah hari ibu dan boleh diraikan bila-bila masa sahaja". Kini, aku berasa tenang. Semoga pada bulan hadapan aku boleh pulang ke Johor dan memberikan sesuatu hadiah yang istimewa untuk ibuku sebagai tanda terima kasih dan bersyukurku atas segala pengorbanan dan jasanya walau ku tahu ia tidak mampu dibalas dengan segunung emas dan permata sekali pun. Ku yakini dihati seorang ibu, selain doa dari anaknya, hadiah juga boleh membuatkan ibuku gembira.

Mataku ku arahkan ke skrin handphone. Jam sudah menunjukkan 12.45am. "Hari dah larut malam, aku perlu tidur", hati kecilku berkata. Aku pun membuat persediaan untuk tidur...

***Demikianlan cerita ringkas yang dapat saya nukilkan untuk dikongsikan bersama. Rasa macam kelakar pula, menulis dalam bentuk novel. Tapi, tidak mengapalah. Inilah ruangan santai yang paling sesuai untuk saya mengasah bakat. Mana tahu, satu hari nanti boleh menghasilkan sebuah novel yang menjadi medium untuk berdakwah kepada masyarakat.Hehe..Insya-Allah.

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada mak, ibu-ibu dan bakal ibu di luar sana. Semoga kalian semua menjadi ibu yang baik, mithali dan dapat melaksanakan amanah Allah SWT dengan penuh tanggungjawab. Semoga kalian semua akan ditempatkan di "Jannah"nya kelak. Insya-Allah, amin.

Kepada anak-anak di laur sana, sayangilah ibu anda sebagaimana anda menyayangi diri anda sendiri. Sedarlah bahawa tanpa ibu, anda tidak akan lahir ke dunia ini.
Akhir kalam, hayatilah ayat Allah SWT di bawah ini:

"Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Ku lah kembalimu.
(Surah Al-Luqman, 31:14)
Sekian, Wallahu a'lam.











Friday, May 6, 2011

Penyeliaan Bulanan Siswazah ISDEV

Hari ini, tanggal 6 Mei 2011 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1432 H, pengajian Ph.D ku telah berusia satu bulan 6 hari. Sekejap sahaja masa berlalu. Rasanya macam baru semalam mendaftar.

Walau apapun perasaan yang timbul, akuilah bahawa waktu kian berlalu dan masa kian meninggalkan kita. Oleh itu, jangan berhoney moon dan berlengah lagi. AYUH..tingkatkan momentum untuk terus berusaha dengan gigih agar pengajian Ph.D dapat diselesaikan mengikut masa yang telah ditentukan.

Apa yang istimewanya menyambung pengajian di ISDEV adalah bimbingan daripada para pensyarahnya. Hari ini, sebagaimana biasa program bulanan yang dianjurkan oleh ISDEV, penyeliaan bulanan siswazah ISDEV telah diadakan di C06 (bilik mesyuarat PPSK, USM) bermula seawal jam 9.30am. Terdapat 5 perkara yang menjadi tunjang kepada perjalanan penyeliaan ini iaitu:

*Tazkirah (telah disampaikan oleh Prof. Muhammad Syukri Salleh).*Perbincangan masalah yang dihadapi oleh para pelajar.*Kuliah pernyataan masalah yang disampaikan oleh Prof. Muhammad Syukri Salleh.*Perbincangan pernyataan masalah kajian pelajar.*Santapan fizikal (jamuan makan)

Tajuk tazkirah yang disampaikan oleh Prof adalah "Susah sangatkah menulis tesis?". Tajuk ini sebenarnya sangat bagus dan mempunyai hubung kaitnya dengan para pelajar ISDEV. Semua pelajar ISDEV baik yang sedang menyambung pengajian di peringkat Ph.D mahupun sarjana mengakui susah dan sukar untuk menulis. Terdapat 29 jenis halangan dan hambatan yang dihadapi oleh pelajar ISDEV. Rupanya benar. Menulis dan menghasilkan sebuah tulisan akademik bukannya mudah sebagaimana menyuap nasi ke dalam mulut. Menulis tesis menuntut pengorbanan dan usaha yang gigih.

Di akhir tazkirah, Prof menyatakan beberapa penawar yang bleh diusahakan untuk menyelesaikan kesusahan dan hambatan yang menyukarkan proses menulis tesis. Antara penawarnya ialah:

Selesaikan masalah asas dengan tingkatkan rasa berTuhan, tazkiyah an-nafs (tundukkan mazmumah dan tingkatkan mahmudah) -iman dan taqwa-perkuatkan hablumminallah dan hablumminannas.

Alhamdulillah, hasil diskusi dalam sessi seliaan yang memakan masa selama 4 jam 15 minit, maka terungkailah permasalahan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ISDEV khususnya tentang kesukaran menulis tesis dan membuat pernyataan masalah serta menghubungkannya dengan latar belakang, objektif, persoalan kajian dan kaedah penyelidikan.

Tahniah diucapkan kepada pensyarah-pensyarah ISDEV yang tidak pernah jemu dalam membimbing dan mencurahkan ilmu kepada pelajar-pelajarnya.


Prof. Muhammad Syukri Salleh dan barisan pensyarah sedang meneliti permasalahan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ISDEV.


Pelajar muslimin memenuhkan ruang di bahagian kiri bilik C06, manakala pelajar muslimat pula memenuhkan ruang di sebelah kanan bilik C06.


Barisan pelajar muslimat Misdev '10. Rosyada sedang berkongsi masalah yang dihadapi.


Barisan pelajar muslimin yang hadir dari Indonesia dan Malaysia.

Slide tazkirah yang disampaikan oleh Prof.


Barisan pensyarah ISDEV (Dari kiri: Dr. Sukainah, Dr. Zahri, Prof. Muhammad Syukri Salleh dan Dr. Zakaria)

Antara wajah-wajah pelajar Ph.D dan Sarjana yang menyambung pengajian di ISDEV.


Sekian, wallahu a'lam.

Monday, May 2, 2011

Pesanan Buat Seorang Insan

1) "Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula menentukan kebahagiaan".

2) "Harta paling menguntungkan adalah SABAR. Teman paling akrab adalah AMAL. Pengawal peribadi paling waspada adalah DIAM. Bahasa paling manis adalah SENYUM. Ibadah terindah tentunya KHUSYUK".

3) "Semoga kamu mendapat cukup kebahagiaan untuk membuatkan kamu bahagia, cukup cubaan untuk membuatkan kamu kuat, cukup penderitaan untuk membuatkan kamu menjadi manusia yang kental, dan cukup harapan untuk membuatkan kamu positif terhadap kehidupan".


Selain berpegang kepada sumber epistemologi Islam yang qat'ie (al-Quran dan Sunnah), ketiga-tiga pesanan ini juga boleh dijadikan peringatan dan pedoman untuk menjadikan diri lebih bermotivasi dan tabah dalam mengharungi dugaan serta cabaran hidup.

Sudah menjadi fitrah dimana setiap manusia pastinya akan diuji. Ada yang diuji dengan perkara-perkara yang menggembirakan seperti mendapat kejayaan, kemewahan, kebijaksanaan, ketenangan dan kebahagiaan. Ada juga yang diuji dengan perkara yang menyedihkan seperti kematian, kesusahan, tekanan perasaan, kecacatan, kemiskinan dan sebagainya.

Dalam konteks kehidupan sebagai PELAJAR misalnya, tentunya tidak dapat lari daripada masalah, tekanan dan cabaran. Lebih-lebih lagi pelajar yang berada diperingkat PhD. Tentunya cabaran yang dihadapi lebih besar. Ia menuntut jiwa yang kuat, emosi yang stabil dan yang paling penting adalah rohani yang dekat dengan Allah SWT. Jika tidak kuat menghadapi dugaan, maka akan adalah yang mengambil jalan pintas sebagaimana yang berlaku dewasa kini. Jika rasa terlalu sukar menyelesaikan pengajian, ada yang give up sehingga berhenti pengajian, ada yang bunuh diri, hilang ingatan dan lain-lain.

Oleh itu, Islam mengajar tips-tips dan cara untuk menghadapi dugaan dan tekanan. Antaranya, dekatkan diri dengan Tuhan (Allah SWT), melakukan amalan-amalan sunat, sabar, cekal, kuatkan semangat, yakin bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan tawakkal kepada Allah SWT. Insya-Allah pastinya jiwa akan menjadi tenang.

"Usaha yang diiringi dengan doa dan tawakkal kepada Allah SWT pasti akan menemui kejayaan"

Friday, April 15, 2011

LIKU DAN RANJAU KEHIDUPAN

Tanggal 1 April 2011, maka berkuat kuasalah status ku sebagai pelajar Doktor Falsafah di ISDEV, USM. Pelbagai perasaan timbul dalam hati ini. Terkadang rasa gembira, takut, bimbang, semuanya silih berganti. Masakan tidak, menjadi pelajar Ph.D merupakan cabaran yang sangat besar dan berat. Mampukah aku melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan Ph.D sekali gus menggarap ilmu yang dianugerahkan Tuhan?


Ya Tuhan..Kurniakan aku kekuatan dan kemampuan untuk memartabatkan bidang keilmuan Islam. Apa yang perlu aku lakukan kini? Ya, semestinya pelbagai strategi perlu disusun. Apa yang terfikir kini ialah:


Persediaan dari sudut rohani (spiritual). Menguatkan fizikal, mental dan emosi. Mencari, menambah bahan bacaan dan menguasai bidang kajian. Memantapkan penguasaan bahasa untuk mengukuhkan penulisan. Mencari networking. Belajar dari pengalaman. Sentiasa menulis. Berdiri di atas kaki sendiri (berdikari dalam segala hal). Jadi seorang yang berpendirian. Berdamping dengan orang berilmu. Tegas dalam membuat keputusan.


Ini baru sedikit dari persediaan dan langkah yang perlu dilakukan. Mampukah aku melakukannya? YA, insya-Allah mampu. Jika tidak, masakan Allah SWT menyusun langkah hidupku hingga ke tahap ini. Terima kasih Tuhan. Anugerah-Mu buatku merasa sangat bersyukur dengan apa yang ada kini.



Sekian, Insya-Allah akan disambung di lain hari dan waktu.



Wallahu a’lam.

Sunday, April 10, 2011

TAHNIAH DAN SYABAS

Tanggal 7 April 2011 bersamaan 3 Jamadil Awwal 1432 H, berakhirlah sudah penantian dan debaran Pak Warjio (pelajar Ph.D ISDEV) setelah berjaya melalui detik bersejarah iaitu sessi Viva.

Jemaah pemeriksa telah memutuskan bahawa tesis Pak Warjio lulus dengan cemerlang dan dicadang untuk dicalonkan bagi mendapat Anugerah Tesis Terbaik (Sastera Tulin) USM.
Tahniah Dr. Warjio.

Pak Warjio tekun membentangkan hasil kajiannya walaupun penyelia utama tidak bersama beliau (Dr.Zaini Abu Bakar).



Jemaah pemeriksa sedang mendengar dan meneliti jawapan yang diberikan oleh Pak Warjio.


Dr. Zahri dan Dr. Sukainah masing-masing melontarkan pertanyaan kepada Pak Warjio.


Wajah gembira Pak Warjio dan penyelia bersama, Prof. Muhammad Syukri Salleh selepas sessi Viva.


Sessi fotografi Pak Warjio bersama penyelia bersama dan Jemaah pemeriksa.



Saturday, April 2, 2011

JOM BELI BUKU

Karnival jualan buku peringkat antarabangsa kembali lagi. Jom kita baca ucapan pihak penganjur.


"I have great pleasure to inform you that the National Book Council of Malaysia and the Malaysian Book Industry Council will again organise the Kuala Lumpur International Book Fair (KLIBF) in 2011. The 30th edition ok KLIBF will be held at Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur from Friday, 22nd April 2011 until Sunday, 1st May 2011.

I am also glad to inform you that due to an overwhelming response that we received from our international visitors and exhibitors during KLIBF 2010, we will organise a bigger trade exhibition for the year 2011. It will be held from Friday, 22nd April 2011 until Sunday, 1st May 2011 at Tun Razak Hall 2, PWTC.

It is my privilege to cordially invite your company to participate as a trade exhibitor in the KLIBF 2011. As in previous years, KLIBF 2011 will again feature a wide range of genres from local and international publications.

It is indeed an honour to have international companies from overseas to display their latest and best titles in KLIBF 2011, for trading of copyright and book licensing. We hope your participation in KLIBF 2010 will again make this event a continuing success.

On behalf of the organizing committee, I look forward to welcoming you to the Kuala Lumpur International Book fair 2011.

Thank you.

A ‘AZMI BIN SHAHRI Director National Book Council of Malaysia (MBKM)".

Dipetik dari :


Suasana KLIBF tahun 2010.



Semoga kita semua berpeluang untuk ke sana. Insya-Allah.

Friday, April 1, 2011

Hakikat Penciptaan...

Membaca artikel dalam jurnal, prosiding, buku akademik dan karya-karya para ilmuan merupakan antara usaha yang perlu dilakukan oleh semua penyelidik untuk mendapatkan maklumat. Jika tidak, maka sesebuah penyelidkan itu tidak akan dapat dihasilkan dengan sempurna dan berkualiti.

Atas dasar itu, saya juga perlu membaca dengan lebih tekun lagi agar dapat menguasai apa yang ingin dikaji. Akan tetapi, membaca pun kadang-kadang perlukan mood juga. Lebih-lebih lagi membaca bahan dalam bahasa Inggeris. Jikalau tiada mood, maka kerana itulah apabila mula mahu membaca sahaja, mulalah mata menjadi layu, fikiran menerawang, mulut mula mahu menguyah..

Semalam, sambil membaca artikel, tiba-tiba fikiran melayang..melihat peralatan dan barang-barang di atas meja. Ada yang berbentuk bulat, segi empat tepat, segi tiga, segi empat sama, silinder, piramid..Kenapa ye barang-barang ini dicipta sedemikian rupa? Kelihatan seperti semuanya berbeza-beza. Tapi, bila difikirkan kembali, walaupun rupanya berbeza-beza, ia masih ada BENTUK. Ia dicipta untuk memudahkan masyarakat menggunakannya. Kreatif dan inovatifnya manusia dalam menciptakan sesuatukan. Tapi, ini baru benda-benda yang diciptakan oleh manusia.

Kalau di lihat ciptaan Allah SWT, Subhanallah!!! Tidak terbilang bentuk dan kepelbagaian ciptaan-Nya. Tengok sajalah pada diri kita. Ada yang dicipta berkulit cerah dan berkulit gelap, berhidung mancung dan berhidung penyek, tubuh badan yang kurus dan tubuh badan yang besar, ada yang tinggi dan ada pula yang rendah..Masya-Allah, banyakkan kepelbagaian rupa dan bentuk. Walaupun begitu, hakikatnya kita masih lagi manusia selaku hamba dan khalifah Allah SWT. Itu baru manusia, belum lagi benda-benda lain seisi alam seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan, muka bumi, atmosfera, dan lain-lain..Subhanallah..Sungguh Allah itu Maha Mencipta.

Jadi, sedarlah walau bagaimana hebatnya kita sekalipun,kita hanyalah seorang hamba yang sangat lemah. DIAlah Tuhan yang Maha Mencipta dan Memiliki segala-galanya. Oleh itu, bersyukurlah dengan segala anugerah, keupayaan dan kebolehan yang dikurniakan-Nya. Tanpa kasih sayang dan Rahmat dari-Nya, tidak mungkin kita dapat hidup selesa sebagaimana yang dikecapi hari ini.

Wah, panjang pula mengelamun ye. Pengajaran juga untuk diri ini. Allah SWT dah kurniakan akal fikiran dan segala macam kemudahan, maka sebagai seorang mahasiswi, belajarlah bersungguh-sungguh. Jangan buang masa dan sentiasalah memohon agar dipermudahkan segala urusan.


Wallahu a'lam..

Monday, March 28, 2011

Repeat Information.



Wahai pembaca yang budiman.

Adakah anda boleh melihat secara jelas tulisan dalam poster yang dipost sebelum ini? Rasaya bagi mata yang masih diberikan Allah SWT nikmat penglihatan sepenuhnya (tidak rabun) pun tidak dapat membacanya, apatah lagi yang rabun. Oleh itu, saya akan menaipkan intipati poster tersebut untuk memudahkan pembaca sekalian memahami apa yang ingin disampaikan.


Jika Allah SWT memakbulkan doamu, maka DIA menyayangimu,

Jika DIA lambat memakbulkan doamu, maka DIA ingin mengujimu,

Jika DIA tidak memakbulkan doamu, maka DIA merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.


Oleh itu, sentiasalah bersangka baik kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan pun kerana kasih sayang Allah SWT itu mendahului kemurkaan-Nya.

*Marilah kita sama-sama muhasabah diri. Redhalah dengan apa jua ketentuan Allah SWT. Tidak ada sebab mengapa kita hendak mempertikai kejadian dan ketentuan Allah SWT kepada kita. Kita hanyalah seorang hamba dan Allah SWT lah pencipta kita dan DIA lebih tahu apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya.

Wallahu a'lam.

Saturday, March 26, 2011

Kasih Sayang Tuhan..


Apa yang dikurniakan Allah ke atas setiap hamba-Nya itu merupakan yang terbaik untuknya. Oleh itu, kita selaku hamba harus sentiasa redha dan bersyukur dengan apa yang dikurniakan-Nya sama ada kurniaan itu berbentuk nikmat, derita, kesakitan, kesenangan, kelapangan, kesusahan atau kemewahan.
Marilah kita meningkatkan rasa syukur kepada-Nya ke atas apa yang telah dikurniakan kini kerana bersyukur itu merupakan sifat seorang hamba yang beriman. Ingatlah janji Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam firmannya dalam Surah Ibrahim, 14:7 yang bermaksud:
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, Sesungguhnya Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu. Tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat".