Sunday, May 8, 2011

SELAMAT HARI IBU

Malam semalam, aku terasa ingin membaca sesuatu daripada bahan bacaan ringan. Lalu ku arahkan mataku ke bahagian rak buku yang sarat dengan buku-buku akademik dan bukan akademik termasuk majalah. Tanganku lekas mencapai majalah solusi isu no.30. Aku membelek-belek majalah tersebut dan terus merebahkan diri di atas katil. Tajuk di bahagian kulitnya tertera "Memburu kemanisan iman". Lalu ku selak muka suratnya satu persatu untuk mencari tajuk-tajuk yang dapat menarik minatku untuk membacanya.

Sekitar jam 11.55pm, aku bingkas bangun daripada katil lalu mencapai handphone dan jari-jemariku ligat menaip sesuatu. Di skrin handphone ku kini tertulis:

"Assalamualaikum..Mak, SELAMAT HARI IBU. Terima kasih kerana melahirkan dan mendidik kami sembilan beradik. Jasamu dikenang hingga ke akhir hayatku. Semoga menjadi ibu mithali dan ibu sejati serta diredhai Allah SWT. Semoga mak dipanjangkan usia, dipermudahkan segala urusan dan bahagia di samping abah, anak-anak dan cucu. Sayang mak".

Tepat jam 12am (menandakan sudah memasuki 8 Mei 2011), mesej tersebut terusku hantar ke talian ibuku. Tidak lama kemudian, "mesej delivered" tertera di skrin handphone ku. Hati kecilku berkata, "Alhamdulillah. Mak telah menerima mesej yang ku hantar sebentar tadi.

Kini, aku kembali merebahkan diri di atas katil. Tangunku masih lagi membelek majalah solusi yang dibaca sebentar tadi. Sambil membelek, fikiranku menerawang.."Hari ini hari ibu. Apa yang boleh ku berikan kepada mak untuk menggembirakan hatinya?" Mesti mak merasa sedih kerana anak-anaknya berada di lokasi yang jauh darinya dan tidak dapat menyambut hari ibu sebagaimana tahun lepas". Tanpa ku sedari, air mataku sudah bergenang. Lalu, aku memujuk hatiku sendiri. "Tak mengapalah. Bukan bermakna hari ini sahaja hari ibu, sepatutnya setiap hari adalah hari ibu dan boleh diraikan bila-bila masa sahaja". Kini, aku berasa tenang. Semoga pada bulan hadapan aku boleh pulang ke Johor dan memberikan sesuatu hadiah yang istimewa untuk ibuku sebagai tanda terima kasih dan bersyukurku atas segala pengorbanan dan jasanya walau ku tahu ia tidak mampu dibalas dengan segunung emas dan permata sekali pun. Ku yakini dihati seorang ibu, selain doa dari anaknya, hadiah juga boleh membuatkan ibuku gembira.

Mataku ku arahkan ke skrin handphone. Jam sudah menunjukkan 12.45am. "Hari dah larut malam, aku perlu tidur", hati kecilku berkata. Aku pun membuat persediaan untuk tidur...

***Demikianlan cerita ringkas yang dapat saya nukilkan untuk dikongsikan bersama. Rasa macam kelakar pula, menulis dalam bentuk novel. Tapi, tidak mengapalah. Inilah ruangan santai yang paling sesuai untuk saya mengasah bakat. Mana tahu, satu hari nanti boleh menghasilkan sebuah novel yang menjadi medium untuk berdakwah kepada masyarakat.Hehe..Insya-Allah.

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada mak, ibu-ibu dan bakal ibu di luar sana. Semoga kalian semua menjadi ibu yang baik, mithali dan dapat melaksanakan amanah Allah SWT dengan penuh tanggungjawab. Semoga kalian semua akan ditempatkan di "Jannah"nya kelak. Insya-Allah, amin.

Kepada anak-anak di laur sana, sayangilah ibu anda sebagaimana anda menyayangi diri anda sendiri. Sedarlah bahawa tanpa ibu, anda tidak akan lahir ke dunia ini.
Akhir kalam, hayatilah ayat Allah SWT di bawah ini:

"Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Ku lah kembalimu.
(Surah Al-Luqman, 31:14)
Sekian, Wallahu a'lam.











Friday, May 6, 2011

Penyeliaan Bulanan Siswazah ISDEV

Hari ini, tanggal 6 Mei 2011 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1432 H, pengajian Ph.D ku telah berusia satu bulan 6 hari. Sekejap sahaja masa berlalu. Rasanya macam baru semalam mendaftar.

Walau apapun perasaan yang timbul, akuilah bahawa waktu kian berlalu dan masa kian meninggalkan kita. Oleh itu, jangan berhoney moon dan berlengah lagi. AYUH..tingkatkan momentum untuk terus berusaha dengan gigih agar pengajian Ph.D dapat diselesaikan mengikut masa yang telah ditentukan.

Apa yang istimewanya menyambung pengajian di ISDEV adalah bimbingan daripada para pensyarahnya. Hari ini, sebagaimana biasa program bulanan yang dianjurkan oleh ISDEV, penyeliaan bulanan siswazah ISDEV telah diadakan di C06 (bilik mesyuarat PPSK, USM) bermula seawal jam 9.30am. Terdapat 5 perkara yang menjadi tunjang kepada perjalanan penyeliaan ini iaitu:

*Tazkirah (telah disampaikan oleh Prof. Muhammad Syukri Salleh).*Perbincangan masalah yang dihadapi oleh para pelajar.*Kuliah pernyataan masalah yang disampaikan oleh Prof. Muhammad Syukri Salleh.*Perbincangan pernyataan masalah kajian pelajar.*Santapan fizikal (jamuan makan)

Tajuk tazkirah yang disampaikan oleh Prof adalah "Susah sangatkah menulis tesis?". Tajuk ini sebenarnya sangat bagus dan mempunyai hubung kaitnya dengan para pelajar ISDEV. Semua pelajar ISDEV baik yang sedang menyambung pengajian di peringkat Ph.D mahupun sarjana mengakui susah dan sukar untuk menulis. Terdapat 29 jenis halangan dan hambatan yang dihadapi oleh pelajar ISDEV. Rupanya benar. Menulis dan menghasilkan sebuah tulisan akademik bukannya mudah sebagaimana menyuap nasi ke dalam mulut. Menulis tesis menuntut pengorbanan dan usaha yang gigih.

Di akhir tazkirah, Prof menyatakan beberapa penawar yang bleh diusahakan untuk menyelesaikan kesusahan dan hambatan yang menyukarkan proses menulis tesis. Antara penawarnya ialah:

Selesaikan masalah asas dengan tingkatkan rasa berTuhan, tazkiyah an-nafs (tundukkan mazmumah dan tingkatkan mahmudah) -iman dan taqwa-perkuatkan hablumminallah dan hablumminannas.

Alhamdulillah, hasil diskusi dalam sessi seliaan yang memakan masa selama 4 jam 15 minit, maka terungkailah permasalahan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ISDEV khususnya tentang kesukaran menulis tesis dan membuat pernyataan masalah serta menghubungkannya dengan latar belakang, objektif, persoalan kajian dan kaedah penyelidikan.

Tahniah diucapkan kepada pensyarah-pensyarah ISDEV yang tidak pernah jemu dalam membimbing dan mencurahkan ilmu kepada pelajar-pelajarnya.


Prof. Muhammad Syukri Salleh dan barisan pensyarah sedang meneliti permasalahan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ISDEV.


Pelajar muslimin memenuhkan ruang di bahagian kiri bilik C06, manakala pelajar muslimat pula memenuhkan ruang di sebelah kanan bilik C06.


Barisan pelajar muslimat Misdev '10. Rosyada sedang berkongsi masalah yang dihadapi.


Barisan pelajar muslimin yang hadir dari Indonesia dan Malaysia.

Slide tazkirah yang disampaikan oleh Prof.


Barisan pensyarah ISDEV (Dari kiri: Dr. Sukainah, Dr. Zahri, Prof. Muhammad Syukri Salleh dan Dr. Zakaria)

Antara wajah-wajah pelajar Ph.D dan Sarjana yang menyambung pengajian di ISDEV.


Sekian, wallahu a'lam.

Monday, May 2, 2011

Pesanan Buat Seorang Insan

1) "Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula menentukan kebahagiaan".

2) "Harta paling menguntungkan adalah SABAR. Teman paling akrab adalah AMAL. Pengawal peribadi paling waspada adalah DIAM. Bahasa paling manis adalah SENYUM. Ibadah terindah tentunya KHUSYUK".

3) "Semoga kamu mendapat cukup kebahagiaan untuk membuatkan kamu bahagia, cukup cubaan untuk membuatkan kamu kuat, cukup penderitaan untuk membuatkan kamu menjadi manusia yang kental, dan cukup harapan untuk membuatkan kamu positif terhadap kehidupan".


Selain berpegang kepada sumber epistemologi Islam yang qat'ie (al-Quran dan Sunnah), ketiga-tiga pesanan ini juga boleh dijadikan peringatan dan pedoman untuk menjadikan diri lebih bermotivasi dan tabah dalam mengharungi dugaan serta cabaran hidup.

Sudah menjadi fitrah dimana setiap manusia pastinya akan diuji. Ada yang diuji dengan perkara-perkara yang menggembirakan seperti mendapat kejayaan, kemewahan, kebijaksanaan, ketenangan dan kebahagiaan. Ada juga yang diuji dengan perkara yang menyedihkan seperti kematian, kesusahan, tekanan perasaan, kecacatan, kemiskinan dan sebagainya.

Dalam konteks kehidupan sebagai PELAJAR misalnya, tentunya tidak dapat lari daripada masalah, tekanan dan cabaran. Lebih-lebih lagi pelajar yang berada diperingkat PhD. Tentunya cabaran yang dihadapi lebih besar. Ia menuntut jiwa yang kuat, emosi yang stabil dan yang paling penting adalah rohani yang dekat dengan Allah SWT. Jika tidak kuat menghadapi dugaan, maka akan adalah yang mengambil jalan pintas sebagaimana yang berlaku dewasa kini. Jika rasa terlalu sukar menyelesaikan pengajian, ada yang give up sehingga berhenti pengajian, ada yang bunuh diri, hilang ingatan dan lain-lain.

Oleh itu, Islam mengajar tips-tips dan cara untuk menghadapi dugaan dan tekanan. Antaranya, dekatkan diri dengan Tuhan (Allah SWT), melakukan amalan-amalan sunat, sabar, cekal, kuatkan semangat, yakin bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan tawakkal kepada Allah SWT. Insya-Allah pastinya jiwa akan menjadi tenang.

"Usaha yang diiringi dengan doa dan tawakkal kepada Allah SWT pasti akan menemui kejayaan"