Monday, October 19, 2009

AKHLAK RASULULLAH S.A.W TERHADAP ORANG MUNAFIK

Orang-orang munafik sememangnya merupakan musuh yang paling merbahaya dalam perjuangan Islam. Mereka mengaku beragama Islam, tetapi pada masa yang sama mereka berusaha untuk menghancurkan Islam.

Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, Abdullah bin Ubay bin Salul merupakan ketua orang-orang munafik. Abdullah bin Ubay telah melakukan pelbagai pengkhianatan terhadap kaum muslimin. Semasa perang Badar, dialah yang menghasut orang-orang beriman agar tidak berperang dan semasa perang Uhud pula dia menyeru kaum Muslimin untuk berundur dari medan perang. Abdullah bin Ubay juga sentiasa melemparkan fitnah keji terhadap peribadi Rasulullah S.A.W serta keluarga baginda. Seluruh kehidupannya seakan-akan diperuntukkan hanya untuk menghancurkan agama Islam.

Rasulullah sedar akan perbuatan Abdullah bin Ubay itu. Para sahabat juga mengetahui pengkhianatan-pengkhianatan yang dilakukannya. Bahkan Umar pernah meminta kebenaran Rasulullah untuk memenggal kepala Abdullah bin Ubay. Akan tetapi Rasulullah tidak membenarkannya. Rasulullah berkata : "Umar, dia telah menyatakan dirinya Islam. Jika kita membunuhnya, tentu orang-orang kafir akan menyebarkan fitnah mengatakan bahawa saya membunuh pengikut sendiri."

Pada suatu hari, Abdullah bin Ubay jatuh sakit. Dia terbaring tenat menunggu ajal. Dalam keadaan demikian dia meminta anaknya untuk memanggil Rasulullah. Semasa anaknya itu menyatakan hasrat ayahnya di hadapan Rasulullah, Umar bin Khattab menunjukkan sikap tidak setuju. Tetapi Rasulullah berdiri dan memakai jubahnya untuk menemui Abdullah bin Ubay yang sedang sakit tenat.

Dalam keadaan terbaring lemah Abdullah bin Ubay meminta agar Rasulullah menyelimutkannya dengan jubah baginda. Umar bin Khattab memberi isyarat kepada Rasulullah agar tidak melayan permintaan ketua munafik itu. Akan tetapi Rasulullah membuka jubahnya dan menyelimutkan Abdullah bin Ubay dengan jubah itu. Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya dengan berselimutkan jubah Rasulullah S.A.W. Setelah itu Rasulullah berkata kepada Umar : "Hai Umar, jubahku ini tidak akan menyelamatkannya daripada azab neraka. Biarlah dia bergembira seketika sebelum menempuh azab yang pedih."

Demikianlah keluhuran budi pekerti Rasulullah terhadap musuhnya. Dalam hati baginda tertanam perasaan kasih dan sayang terhadap seluruh makhluk. Meskipun terhadap musuh besar yang sentiasa berusaha untuk menghancurkan agama Islam. Rasulullah mengajar kita bahawa akhlak dan budi pekerti mesti diutamakan meskipun terhadap musuh kita