Saturday, September 12, 2009

Malam silih Berganti..Pemergiannya Juga di Tangisi..



Hari ini, masuk hari yang ke-22 umat Islam menunaikan ibadah puasa. Ya Allah, terasa masa ini berlalu dengan begitu pantas. Tidak lama lagi, Ramadhan akan berlalu, Syawal pula yang menjelma. Kenapalah tidak kau turunkan Ramadhan itu selama setahun??Ya, memang ramai yang mungkin berimpian seperti saya. Tetapi kita harus sedar bahawa setiap apa yang ditetapkan oleh Allah itu terlindung suatu hikmah yang Maha Besar. Allah menurunkan Ramadhan selama sebulan ini sebagai petunjuk kasih sayang-Nya kepada kita umat manusia. Dia telah menurunkan suatu bulan yang sangat banyak ganjaran didalamnya dan menyuruh kita berusaha untuk mendapatkannya..

“….Ramadhan bulan ibadah, bulan kerahmatan dan keampunan. Para malaikat merendahkan sayap untuk menghitung amalan berganda…Bulan Ramadhan bulan yang mulia, pahala digandakan doa diterima, terkandung malam Lailatul qadar yang istimewa..Di dalam bulan Ramadhan juga ditutup pintu neraka, di buka semua pintu syurga.. Dibelenggu segala syaitan….”

Jikalau Allah turunkan Ramadhan itu selama setahun, mana mungkin umat manusia akan meningkatkan amalan mereka, kerana masing-masing akan memikirkan bahawa Ramadhan masih panjang. Oleh itu, masing-masing tidak akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar fadhilat Ramadhan itu sendiri.

Kadangkala, kebaikan dan ganjaran yang diberi di depan mata, kita seolah-olah lalai dan alpa akan anugerahnya. Tetapi apabila ianya hilang, barulah kita sibuk mencarinya semula. Sedarlah wahai diri ini dan pembaca budiman, hidup ini hanya sementara. Umur yang dikurniakan Allah tidak lama. Ntah sekejap lagi, esok, tahun depan atau beberapa tahun lagi kita dipanggil menghadap Illahi, Tuhan yang menciptakan kita. Pada ketika itu, sesalan sudah tidak berguna lagi. Ya Allah, panjangkan umur kami. Moga kita semua diberi peluang untuk berjumpa Ramadhan pada tahun hadapan.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama merenungi apa yang telah kita lakukan sepanjang Ramadhan ini. Adakah Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada tahun yang lalu? Kalau ya, alhamdulillah. Ini bermakna kita tergolong di dalam golongan hambanya yang mensyukuri nikmat. Namun, jika Ramadhan ini lebih teruk, marilah kita sama-sama menginsafi apa yang telah dilakukan. Sesungguhnya, Ramadhan masih ada bebapa hari lagi. Oleh itu, marilah kita sama-sama menghidupkan sisa Ramadhan yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi. Pintu taubat itu sentiasa terbuka buat hamba-Nya yang bertaqwa. Ya Allah, berilah kami taufik dan hidayah supaya kami temui nur/cahaya kehidupan yang sebenar. Ya Allah, tempatkan kami semua di kalangan hamba-hambamu yang beriman dan tidak kufur nikmat..Amin..
Sekian, Wallahu a’lam..

Sunday, September 6, 2009

Ketahuilah...

Ketika kamu sudah menangis sekian lama dan hatimu masih terasa pedih.. Allah sudah menghitung airmatamu. Jika kamu fikir bahawa hidupmu sedang menunggu sesuatu dan waktu terasa berlalu begitu saja..Allah sedang menunggu bersama-samamu..Ketika segalanya menjadi sesuatu yang tidak masuk akal dan kamu merasa tertekan..Allah bersamamu untuk menenangkanmu..Ketika kamu fikir bahawa kamu sudah berusaha sesungguhnya dan tidak tahu hendak berbuat apa lagi..Allah mempunyai jawapannya…Ketika segala sesuatu berjalan lancar dan kamu merasa ingin mengucap syukur. Allah telah pun memberkatimu…

Ketika kamu merasa sendirian dan teman-temanmu terlalu sibuk untuk menelefon dirimu..Allah sentiasa berada di sampingmu..Jika tiba-tiba kamu dapat melihat jejak-jejak harapan..Sebenarnya Allah sedang berbisik kepadamu..Ketika sesuatu yang indah terjadi dan kamu dipenuhi ketakjuban..Allah akan tersenyum kepadamu..Ketika kamu memiliki tujuan untuk dipenuhi dan mimpi untuk digenapi..Allah sudah membuka matamu dan memanggilmu dengan namamu… Oleh itu ingatlah bahawa di manapun atau ke manapun kamu berada..Allah akan mengetahui dan sentiasa berada di sampingmu…

Wednesday, September 2, 2009

Marilah Menadah Tangan..



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..Ya Allah... limpahkan aku dengan kecerdikan fikiran dan kewaspadaan...serta jauhkan aku daripada kebodohan dan kesesatan...Sediakan bahagianku daripada kebaikan yang kau turunkan...demi kemurahan Mu...wahai Tuhan Maha Pemurah daripada segala dermawan...

Ya Allah...ampunilah segala dosaku...dan jauhkanlah aku dari azab seksa api nerakaMu... dan azab seksa di alam baqa serta jauhkanlah dari seksanya ketika sakaratulmaut... Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah zat yang menghimpunkan manusia pada hari Qiamat... Sesungguhnya Engkau tidak akan menyalahi janji...

Ya Allah..himpunkanlah apa yang ku inginkan...(sebutkan keinginan-keinginan tersebut)... kerana sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu...Ya Allah... tambahkanlah kepadaku ilmu...dan berikanlah aku faham dengan pengertian yang baik...Ya Allah...aku memohon padaMu petunjuk, ketaqwaan, kesucian tubuh dan kekayaan jiwa...

Ya Allah... matikanlah aku dengan mati yang baik (mampu mengucap kalimah syahadah)...dan janganlah matikan aku dengan mati yang buruk dan keji (mati tidak beriman) Ya Allah...tetapkanlah aku dalam agama Islam... dan ampunkanlah segala dosa-dosa yang telah dilakukan samada sengaja ataupun tidak...dan peliharalah imanku ini... Amin Ya Rabbal 'alamin...

Tuesday, September 1, 2009

TIKET ooOoo TIKET...

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kerana masih lagi diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu Ramadhan yang mulia ini. Hari ini masuk hari yang ke-12 ramadhan dan genap 11 hari umat Islam menunaikan ibadah puasa. Semoga puasa dan segala amalan kita di terima oleh-Nya. Yang paling penting, sama-samalah kita berdoa agar sentiasa di beri hidayah, rahmat dan redha-Nya..Insya-Allah..

Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi sedikit cerita tentang pengalaman membeli tiket untuk pulang ke kampung pada cuti perayaan yang akan datang. Walaupun kini sibuk menjalani ibadah puasa, namun sebagai manusia biasa, saya juga sangat menantikan saat cuti untuk pulang ke kampung bertemu keluarga tercinta. Almaklumlah, lagi dua minggu, cuti sempena aidilfitri akan bermula..Apabila tinggal berjauhan dengan keluarga, terasa satu anugerah apabila diberikan cuti. Inilah masa yang ada untuk meluangkan masa bersama keluarga. Pada cuti yang akan datang, buat pertama kalinya, saya akan pulang dengan perjalanan yang jauh dari Penang ke Johor. Sebelum ini, saya akan pulang ke Kuala Lumpur dan keluarga yang akan mengambil saya di KL. Kali ini, suasana berlainan sekali. Semoga Allah menyelamatkan perjalanan saya nanti untuk sampai ke destinasi..Amin...

Saya telah membeli tiket untuk pulang ke Johor iaitu pada malam 17hb September. Kebetulan, tarikh itu adalah tarikh ulangtahun kelahiran ayah saya..Insya-Allah, adalah sesuatu yang akan saya berikan kepadanya nanti sebagai tanda penghargaan di atas pengorbanan dan cabaran yang ditanggung bersama mak dalam mengasuh, mendidik dan membesarkan anak-anak seramai 9 orang..
Namun begitu, tiket untuk pulang dari Johor ke Penang selepas perayaan nanti sudah banyak yang telah di jual..Saya mulai risau disebabkan takut akan pulang lewat untuk menyambung semula sessi pengajian setelah pulang berhari raya yang mana kuliah pertama akan bermula pada 29hb/9. Pelbagai bayangan persoalan timbul di benak fikiran saya..

“Mungkinkah terpaksa berkorban meninggalkan kuliah pada hari Selasa(29hb)”?

Ooo…Perkara ini tidak mungkin akan berlaku. Sejak dahulu lagi, diri ini telah di didik untuk sentiasa mengikuti kuliah yang telah ditetapkan. Mana mungkin saya akan meninggalkan kuliah hanya dek kerana sebab yang tidak munasabah ini. Kecualilah berlakunya sesuatu yang tidak mampu dielakkan, barulah ianya dapat dipertimbangkan.

Oleh yang demikian, saya bertekad meminta pertolongan seorang teman yang tinggal berdekatan dengan Larkin, Johor untuk melihat kalau-kalau masih ada tersisa tiket yang masih belum di jual di terminal bas Larkin. Berkat doa, alhamdulillah,teman yang sentiasa membantu berjaya mendapatkan tiket untuk pulang ke Penang pada malam 27hb (ahad). Alhamdulillah…Terima kasih teman.. Walaupun syarikat bas itu tidak pernah saya dengar namanya dan harga tiketnya juga telah bertambah, namun saya redha..Itulah jalan yang terbaik buat saya untuk pulang ke Penang nanti. Sekali lagi saya memohon jasa baik pembaca budiman supaya mendoakan perjalanan saya nanti akan selamat untuk pulang semula meneruskan perjuangan sebagai mujahadah di bumi Minden ini..

Setakat ini sajalah cerita saya berkenaan dengan tiket bas. Akhir kalam, saya menyeru kepada diri saya sendiri dan semua pembaca yang budiman supaya memanjatkan kesyukuran atas segala nikmat kurniaan yang telah Allah anugerahkan kepada kita. Gunakanlah rahmat dan nikmat bulan Ramadhan ini sebagai wasilah untuk kita sama-sama mendekatkan diri kepada Allah s.w.t

Semoga kita semua termasuk di dalam golongan hamba-Nya yang soleh dan solehah..Insya-Allah..

Wallahu a’lam…