Wednesday, June 22, 2011

Laporan Penyeliaan Bulanan Siswazah ISDEV -JUN 2011-

Tanggal 17 Jun 2011 bersamaan 15 Rejab 1432 H, ISDEV telah mengadakan aktiviti rutin bulanannya iaitu "Penyeliaan Bulanan Siswazah ISDEV" untuk bulan Jun. Penyeliaan ini diadakan pada dua sessi, iaitu sessi pagi dan petang.

SESSI PAGI

Terdapat empat aktiviti yang menjadi tunjang kepada program penyeliaan pada sessi pagi iaitu:

Pertama, tazkirah : Disampaikan oleh Ust. Shukri Hanapi. Kedua, mendengar pengalaman Dr. Nailul Murad sepanjang beliau subatikal dan berada ditanah suci. Ketiga, kuliah Objektif Kajian : Disampaikan oleh Dr. Sukainah. Keempat, jamuan sempena perpisahan Dr. Nik Masakaree dan Dr. Isyrad Basri.

Untuk aktiviti yang pertama, Ust Shukri telah menyampaikan tazkirahnya yang bertajuk "Syarat menuntut ilmu: Pandangan Imam Al-Syafi'y dalam kitab Diwan al-imam Al-Syafi'y". Menurut Ust Shukri, Imam Al-Syafi'y telah menggariskan enam syarat yang perlu diikuti untuk mendapatkan ilmu iaitu:
1-Zaka' : Cerdas dan bijak
2-Hirs : Semangat yang tinggi/rakus
3-Ijtihad : Kesungguhan
4-Bulghah : Kemampuan sara diri/kewangan
5-Suhah Ustaz : Bersahabat dengan guru
6-Tul zaman : Sepanjang masa

Warga ISDEV mendengar tazkirah dengan penuh minat.


Dalam sya'ir Imam Syafi'y ada menukilkan bahawa manusia harus menjauhi maksiat untuk mendapatkan ilmu. Ini adalah disebabkan ilmu itu adalah cahaya dan ia tidak akan bercampur dengan hati yang penuh dengan maksiat dan kejahatan. Selain itu, apa yang dapat saya garap daripada penyampaian tazkirah ust Shukri adalah menuntut ilmu perlu ada kesungguhan. Untuk mendapatkan kesungguhan tersebut, perlulah dengan kesabaran. Ust juga menyeru supaya kita semua cuba untuk bersahabat dengan guru. Ini adalah tuntutan menuntut ilmu sebagaimana yang digariskan oleh Imam Syafi'y.


Selepas tazkirah, Dr. Nailul dijemput pula untuk menceritakan pengalamannya bercuti subatikal di IDB, Jeddah serta pengalamannya menjejakkan kaki di tanah suci Mekah. Alhamdulillah, banyak pengalaman, pengamatan dan tinjauan yang dikongsikan oleh Dr. Nailul bersama warga ISDEV.


Setelah selesai Dr. Nailul berkongsi pengalamannya, maka tibalah giliran Dr. Sukainah menyampaikan kuliahnya yang bertajuk "Objektif Kajian: Hubungan dengan Pernyataan Masalah dan Persoalan Kajian".


Banyak input-input bermanfaat yang disampaikan oleh Dr. Sukainah dan boleh digunakan dalam proses menulis sebuah tesis terutamanya oleh penyelidik yang baru memulakan pengkajiannya. Menurut beliau, cara menyatakan objektif tidak hanya kepada perkataan mengkaji, lebih dari itu, kita haruslah menyatakan objektif dengan menggunakan istilah:
...untuk mengenal pasti / untuk menganalisis / untuk menilai...




Slide kuliah Dr. Sukainah


Warga ISDEV memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap apa yang disampaikan oleh Dr. Sukainah.


Sekitar jam 11.40m, program penyeliaan ISDEV pada sessi pagi telah sampai kepada aktiviti yang terakhir iaitu jamuan makan sempena perpisahan ISDEV dengan Dr. Basri dan Dr. Nik. Sebelum menjamu selera, Dr. Basri dijemput memberikan ucapan sepatah dua kata tentang apa sahaja yang ingin diluahkan sebelum beliau menamatkan program post-docnya di ISDEV. Agak panjang juga luahan yang disampaikan. Dr. Nik pula tidak berkesempatan memberikan ucapan memandangkan beliau tidak dapat hadir ke program penyeliaan tersebut atas urusan yang tidak dapat dielakkan.


Setelah semuanya selesai, seluruh warga ISDEV dijemput menjamu selera. Kaum Adam (Muslimin) diberi penghormatan untuk terlebih dahulu menjamu selera memandangkan mereka akan menunaikan solat jumaat.


Alhamdulillah, program penyeliaan Siswazah ISDEV pada sessi pagi berjalan sebagaimana yang dirancang. Mungkin, berkat hari Jumaat, maka Allah mempermudah segala urusan.




Prof. Muhammad Syukri Salleh menyampaikan cenderahati kepada Dr. Basri.



Kek yang disediakan oleh ISDEV untuk meraikan Dr. Basri dan Dr. Nik.



Mungkin Prof. sedang memberikan tips tentang cara-cara memotong kek kepada Dr. Basri.


PENYELIAAN SESSI PETANG


Pada jam 3.00 petang, penyeliaan siswazah ISDEV diteruskan dengan dua pembentangan proposal PhD. Pak Farid Wajdi menjadi pembentang pertama dengan tajuk tesisnya "Logo halal di Sumatera Utara Indonesia: Undang-undang, pentadbiran dan penggunaan". Manakala Pak Mulia pula menjadi pembentang kedua dengan tajuk tesisnya "Tadbir urus korporat, pengurusan pendapatan dan nilai firma: Kajian kes di Syarikat-syarikat tersenarai di Jakarta Islamic Index (JII), Bursa EFEK Indonesia.


Alhamdulillah, kedua-dua pembentang ini berjaya menghasilkan sebuah proposal yang baik dan telah diluluskan oleh penilai masing-masing. Ini bermakna mereka sudah boleh meneruskan pengkajian diperingkat kajian lapangan. Moga-moga ianya dapat menyuntik semangat semua pelajar ISDEV agar mempercepat proses penulisan tesis dan dapat menghabiskan pengajian mengikut waktu yang dirancang. Insya-Allah.


Sama-samalah kita berdoa agar Allah membuka jalan dan mempermudahkan urusan kita dalam menghasilkan sebuah tesis yang berkualiti dan dapat memberikan sumbangan kepada perkembangan ilmu Islam.



Sekian, Wallahu 'alam.