Saturday, January 30, 2010

KENALI MUHAMMAD KEKASIH ALLAH SWT

Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim. Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571. Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf..
Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW).
Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN
Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN
Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ' (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah). Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN
Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ', jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk member pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN
Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah. Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah. Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN
Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M..

USIA 63 TAHUN
Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW
Khadijah Binti Khuwailid.
Saudah Binti Zam'ah.
Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).
Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
Zainab Binti Jahsy.
Maimunah Binti Harith.
Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

1. Qasim
2. Abdullah
3.. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra '

ANAK TIRI RASULULLAH SAW
Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda)..

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW
IBU SUSUAN: Thuwaibah
SAUDARA SUSUAN:
1. Hamzah
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

IBU SUSUAN: Halimah Al-Saidiyyah
SAUDARA SUSUAN:
1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
2. Abdullah bin Harith bin Abdul ' Uzza
3. Syaima ' binti Harith bin Abdul ' Uzza
4. ' Aisyah binti Harith bin abdul ' Uzza

BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW

(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)
1.. Al-Harith
2. Muqawwam
3. Zubair
4. Hamzah ***
5. Al-Abbas ***
6. Abu Talib
7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
8. Abdul Ka ' bah
9. Hijl
10. Dhirar
11. Umaimah
12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
13. Atiqah ##
14. Arwa ##
15. Umaimah
16. Barrah
17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***

*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.

Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

NABI MUHAMMAD SAW - MANUSIA AGUNG

Saturday, January 16, 2010

Seiraskah kami??







Kehidupan yang di beri oleh Allah SWT merupakan suatu nikmat dan anugerah yang sangat bernilai kepada setiap hamba-Nya. Oleh yang demikian, selaku hamba yang bertaqwa, kita haruslah sentiasa mensyukuri segala nikmat dan rahmat yang telah dikurniakan. Apatah lagi, kita dilahirkan dengan pancaindera yang sempurna dan kehidupan yang bahagia. Sesungguhnya, Allah SWT amat menyukai hamba-Nya yang bersyukur. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabku amatlah keras". (Surah Ibrahim : 7)
Nikmat perlu disyukuri bukan disalahgunakan ke arah kemungkaran dengan menjadikan hawa nafsu dan tipu daya syaitan sebagai nakhoda dalam jiwa serta pemikiran. Nikmat dianugerahkan Allah SWT perlu dianggap pendorong untuk lebih khusyuk dan tawadhuk mengabdikan diri kepada-Nya dan memperteguhkan tahap keimanan demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Bercerita tentang nikmat ini, saya ingin berkongsi cerita mengenai kelahiran saya yang dianggap suatu nikmat yang sangat "istimewa". Sungguh ciptaan Allah SWT terhasil dengan pelbagai cara dan keunikan. Saya dilahirkan dengan mempunyai seorang kembar yang lahir dari satu uri yang sama. Kembar saya yang diberi nama Azlin sebagai kakak, dan saya Azrin sebagai adik. Kami dilahirkan pada 3 Januari 1986 bersamaan 22Rabiul akhir1406 H. Hanya 4minit masa yang membezakan detik kelahiran kami. Walaupun kami dilahirkan dengan jasad yang berbeza, namun realitinya kami mempunyai banyak persamaan. Menurut mak, semasa kecil, kami tidak mahu memakai pakaian yang berbeza. Segalanya harus diberi secara saksama supaya kami tidak bergaduh. Jikalau seorang demam, maka yang sorang juga akan demam..Pendek kata, segala yang berlaku akan bersangkut paut antara kami berdua.
Disinilah, apabila direnungi, kuasa Allah SWT itu Maha Hebat dan Agung. Diciptakan manusia itu dengan jasad yang berbeza, namun mempunyai raut wajah, minat dan tingkah laku yang hampir sama. Terima kasih Ya Allah di atas segala nikmat, rahmat, kasih sayang, dan kebahagiaan yang telah Kau berikan. Sungguh diri ini merasa amat bersyukur dengan segala yang telah engkau kurniakan. Semoga rahmat dan kasih sayangMu akan terus dicurahkan kepada umat manusia seluruh alam...
Semoga coretan dan bingkisan yang tidak seberapa ini dapat menunaikan janji saya untuk post gambar kembar ke dalam blog terhadap beberapa orang rakan yang asyik bertanya bagaimana rupa kembar saya. Moga-moga akan datang kita semua akan lebih rajin mencoret wadah dan menukil rasa di ruangan blog masing-masing bertepatan dengan saranan Prof Syukri Salleh yang menggalakkan kita semua menulis walaupun sebaris cuma..Insya-Allah dengan usaha yang sedikit juga akan mampu mendidik kita menjadi penulis yang lebih cemerlang..amin
Wallahu a'lam..
-Sekian-

Friday, January 1, 2010

Syukran ya Allah...alhamdulillah



Alhamdulillah, beberapa hari yang lalu, kita semua telah pun menyambut tahun baru hijrah dan hari ini masuk 16Muharam1431 H. Begitu juga dengan tahun baru masihi, kita baru sahaja melangkah ke dalam tahun yang baru iaitu tahun 2010..Setinggi-tinggi kesyukuran diucapkan kehadrat Allah swt kerana dengan limpah kurnia serta kasih sayang-Nya, kita semua masih lagi dipanjangkan usia dan mampu menjalani kehidupan seperti insan lain. Diharapkan dengan beredarnya masa dan meningkatnya usia ini, kita semua dapat membulatkan tekad dan azam yang baru untuk lebih berdaya maju dan berusaha dengan gigih demi mencapai kejayaan dan keredhaan Allah swt.
Alhamdulillah, tahun baru ini juga memberikan peluang kepada saya untuk melangkah ke dalam semester yang baru. Insya-Allah, dengan bermulanya semester ke-2 ini akan memberikan saya semangat yang baru untuk terus belajar demi memuliakan dan mengangkat martabat ilmu. Apa yang ingin saya kongsikan di sini bukanlah azam saya yang baru, sebaliknya adalah mengenai kisah manis yang saya lalui. Alhamdulillah, pada cuti semester yang lalu, saya berkesempatan membantu meringankan bebanan keluarga. Itulah masa yang dinanti-nantikan kerana saya tinggal berjauhan dengan keluarga. Apabila tiba musim cuti, itulah peluang yang diberi oleh Allah untuk saya gunakan sebaiknya supaya saya dapat membantu dan meringankan bebanan tugas mak ayah di rumah.
Pada waktu cuti itu jugalah, kakak saya yang sulung dijangka akan menerima kelahiran cahaya matanya yang pertama. Maka, khidmat dan bantuan saya untuk membantu keluarga pada ketika itu amatlah diperlukan. Alhamdulillah, setelah sekian lama menanti, kini kami sekeluarga telah pun menyambut kelahiran insan baru dalam keluarga kami. Baby girl itu telah dilahirkan pada 12 Disember 2009 dan diberi nama "Darwisyah Nur Qistina"..(Gambar di atas..comelkan, macam makciknya juga..hehe)
Dengan tangis dan senyumnya, membuatkan kami sekeluarga semakin bahagia, lebih-lebih lagi mak dan ayahku..Mereka kelihatan sangat gembira kerana telah pun bergelar nenek dan atuk..Hasrat untuk menimang cucu telah pun dikabulkan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana segalanya selamat. Semoga Allah terus memberikan kegembiraan dan keceriaan kepada keluarga kami..Amin


Sekian, wallahu a'lam...