Monday, May 2, 2011

Pesanan Buat Seorang Insan

1) "Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula menentukan kebahagiaan".

2) "Harta paling menguntungkan adalah SABAR. Teman paling akrab adalah AMAL. Pengawal peribadi paling waspada adalah DIAM. Bahasa paling manis adalah SENYUM. Ibadah terindah tentunya KHUSYUK".

3) "Semoga kamu mendapat cukup kebahagiaan untuk membuatkan kamu bahagia, cukup cubaan untuk membuatkan kamu kuat, cukup penderitaan untuk membuatkan kamu menjadi manusia yang kental, dan cukup harapan untuk membuatkan kamu positif terhadap kehidupan".


Selain berpegang kepada sumber epistemologi Islam yang qat'ie (al-Quran dan Sunnah), ketiga-tiga pesanan ini juga boleh dijadikan peringatan dan pedoman untuk menjadikan diri lebih bermotivasi dan tabah dalam mengharungi dugaan serta cabaran hidup.

Sudah menjadi fitrah dimana setiap manusia pastinya akan diuji. Ada yang diuji dengan perkara-perkara yang menggembirakan seperti mendapat kejayaan, kemewahan, kebijaksanaan, ketenangan dan kebahagiaan. Ada juga yang diuji dengan perkara yang menyedihkan seperti kematian, kesusahan, tekanan perasaan, kecacatan, kemiskinan dan sebagainya.

Dalam konteks kehidupan sebagai PELAJAR misalnya, tentunya tidak dapat lari daripada masalah, tekanan dan cabaran. Lebih-lebih lagi pelajar yang berada diperingkat PhD. Tentunya cabaran yang dihadapi lebih besar. Ia menuntut jiwa yang kuat, emosi yang stabil dan yang paling penting adalah rohani yang dekat dengan Allah SWT. Jika tidak kuat menghadapi dugaan, maka akan adalah yang mengambil jalan pintas sebagaimana yang berlaku dewasa kini. Jika rasa terlalu sukar menyelesaikan pengajian, ada yang give up sehingga berhenti pengajian, ada yang bunuh diri, hilang ingatan dan lain-lain.

Oleh itu, Islam mengajar tips-tips dan cara untuk menghadapi dugaan dan tekanan. Antaranya, dekatkan diri dengan Tuhan (Allah SWT), melakukan amalan-amalan sunat, sabar, cekal, kuatkan semangat, yakin bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan tawakkal kepada Allah SWT. Insya-Allah pastinya jiwa akan menjadi tenang.

"Usaha yang diiringi dengan doa dan tawakkal kepada Allah SWT pasti akan menemui kejayaan"

No comments:

Post a Comment