Thursday, April 19, 2012

MUSAFIR KE DANAU TOBA, INDONESIA

Sambungan entry yang lalu..

Pada hari kedua bermusafir, jemaah kami berangkat pula ke Danau Toba, Sumatera Utara. Perjalanan untuk sampai ke sana mengambil masa sekitar 4 jam. Untuk ke sana, kami telah menaiki sebuah bas dan dua buah kereta Kijang. Saya, Kak Murni dan Lenny telah menaiki kereta Pak Suhrawardi bersama keluarganya, beberapa orang pelajar lelaki telah menaiki sebuah Kijang lagi dan selebihnya menaiki bas. Saya membuat keputusan untuk menaiki kereta dan tidak menaiki bas disebabkan bimbang perjalanan menaiki bas dalam keadaan jarak yang jauh akan membuatkan kepala saya pening, ditambah pula hentakan bas pada permukaan jalan yang tidak begitu rata lebih kuat berbanding dengan menaiki kereta.

Alhamdulillah, perjalanan yang bermula sekitar jam 8 pagi waktu Indonesia membolehkan kami sampai di Danau Toba pada waktu tengah hari iaitu sekitar jam 12.30. Sampai sahaja di sana, kami terus disajikan dengan juadah yang pelbagai dan enak-enak belaka, alhamdulillah. Setelah perut kenyang, kami terus mengerjakan solat jamak dan qasar zuhur dan asar secara berjemaah.

Musafir kami di Danau Toba ini hanya mengambil masa dua hari sahaja iaitu berangkat pada hari Ahad dan pulang semula ke Medan pada hari Isnin. Namun, sebelum pulang, kami berpeluang untuk pergi ke Pulau Samosir iaitu sebuah pulau kecil yang terletak di tengah-tengah danau tersebut.

Perkongsian…

Apa yang boleh saya kongsi di sini adalah musafir kami ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengambil peluang mentadabbur alam serta melihat tanda-tanda kekuasaan Allah SWT. Ada beberapa hal yang membuatkan saya berasa takjub, terpesona dan mengagumi akan keajaiban yang diciptakan Allah SWT. Setiap kali saya pergi ke sana, perkataan pertama yang keluar daripada mulut saya adalah ‘Subhanallah, masya-Allah, alhamdulillah’.. Sejurus itu juga, dengan tidak semena-mena, air mata saya bergenang melihat keindahan alam ciptaan Allah. Apakan tidak, nuansa dan pemandangannya begitu indah sekali. Keduanya, kekaguman dan ketakjuban saya adalah disebabkan pada keunikan pembentukan Danau Toba itu sendiri. Danau itu terbentuk hasil letusan gunung berapi yang berlaku puluhan tahun dahulu. Ia adalah letusan supervolcano (gunung berapi super) yang paling baru. Letusannya terjadi selama 1 minggu dan lontaran debunya mencapai 10 km di atas permukaan laut. Menurut beberapa bukti DNA, letusan ini juga mengorbankan jumlah manusia sekitar 60% daripada jumlah populasi manusia di bumi pada ketika itu, iaitu sekitar 60 juta orang manusia. Setelah itu, terbentuklah kaldera yang kemudian terisi oleh air dan kini dikenali sebagai Danau Toba. Tekanan ke atas oleh magma yang belum keluar menyebabkan munculnya Pulau Samosir. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk:
http://id.wikipedia.org/wiki/Danau_Toba

Besar bukan kekuasaan Allah? Pujilah Allah dengan mengucapkan Subhanallah. Saya berasa sangat bersyukur kerana masih lagi diberikan peluang oleh Allah untuk ke sana. Anda pernah pergi ke sana? Sekiranya belum, saya titipkan anda dengan beberapa foto untuk tatapan anda. Sekiranya mahu foto yang lebih banyak, silalah google image ye. Hehe..


Gambaran keluasan Danau Toba dan Pulau Samosir.

Danau Toba bukan tempat membuang sampah !

Pemandangan yang indah dan cukup memukau.

Suasana yang tenang dan mendamaikan.

Kehijauan flora yang menyegarkan.

Air danau yang tenang.

Rumah yang jauh dari kesibukan kota.


Pemandangan bukit bukau yang menyejukkan mata memandang.

Alhamdulillah, sedikit pengalaman yang boleh dikongsikan bersama. Moga-moga ianya dapat memberi gambaran tentang suasana/nuansa di Medan.

1 comment:

  1. Kak jeriiiiiiiin.. Please contact olyn... olyn_roslina@hotmail.com

    ReplyDelete